Hubungi kami di:
 
      
 
 Kaedah Pembayaran
 
  Kaedah Pembayaran Program Pengurusan Kredit (PPK) Terbaru

Sila klik untuk keterangan lanjut:
 

Info Utama - AKPK

Visi AKPK ialah “Amalkan Pengurusan Kewangan Berhemat Sebagai Budaya Hidup kepada seluruh rakyat Malaysia.” Untuk mencapai matlamat ini, misi kami adalah untuk memastikan rakyat Malaysia terus berdaya tahan dan berhemat dalam pengurusan kewangan dan penggunaan kredit mereka melalui pendidikan kewangan yang komprehensif serta memberi perkhidmatan kaunseling kewangan dan program pengurusan kredit yang professional supaya mereka boleh mengendalikan dan mengawal kewangan mereka.


Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia dengan objektif untuk secara proaktif memastikan sektor isi rumah terus berdaya tahan dengan menyediakan saluran bagi peminjam individu dan bakal peminjam mendapatkan nasihat dan bantuan berhubung dengan pengurusan kredit dan, pada masa yang sama, menggalakkan sistem perbankan yang teguh dan mantap dengan memudahkan usaha pembayaran balik hutang dan meminimumkan kes-kes tidak berbayar akibat daripada pengurusan hutang yang kurang cekap.


AKPK menyediakan perkhidmatan seperti berikut:


1. Pendidikan Kewangan dengan memberi kemahiran asas pengurusan kewangan dan penggunaan kredit yang wajar dan secara bertanggungjawab. Program pendidikan kewangan AKPK termasuk:

  • taklimat dan penerangan secara “ad-hoc” yang dirangka khusus kepada kumpulan atau individu termasuk kumpulan sosial serta organisasi;
  • Strategi yang merangkumi struktur Pendidikan Pengurusan Kewangan Peribadi yang komprehensif melalui Rangka Tindak Pendidikan Kewangan AKPK (AKPK’s Financial Education Blueprint). Rangka Tindak Pendidikan Kewangan AKPK ini menentukan taraf pengetahuan dan pendedahan pengurusan kewangan masa kini dan rancangan-rancangan untuk meningkatkannya ke tahap yang lebih mendalam dikalangan rakyat Malaysia.

2. Nasihat dan kaunseling mengenai pengurusan kewangan, termasuk bajet kewangan sehingga pengurusan perbelanjaan;


3. Program Pengurusan Kredit (PPK) dengan membantu mereka menyelesaikan masalah pinjaman dengan institusi kewangan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia dengan menyediakan pelan pembayaran semula pinjaman bagi peminjam yang layak.

Semua perkhidmatan yang disediakan oleh AKPK adalah secara percuma.


Peminjam individu boleh mendapatkan bantuan AKPK untuk membuat penstrukturan semula pinjaman perumahan, pinjaman kenderaan, pinjaman peribadi atau baki tertunggak kad kredit/caj yang didapati dari penyedia kewangan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia.


Semenjak pembukaan pada April 2006, AKPK telah mencapai tahap yang membanggakan, terutama selepas pembukaan pejabat cawangan di Pulau Pinang, Johor Bharu, Kuala Lumpur, Kuching, Kota Kinabalu, Melaka, Ipoh dan Kuantan. Pembukaan pejabat cawangan ini adalah untuk memberi kemudahan kepada orang ramai khususnya penduduk di negeri berkenaan untuk mendapatkan perkhidmatan daripada AKPK.


Melalui perkhidmatan yang disediakan oleh AKPK, perancangan pengurusan kredit dapat membantu peminjam mengurus belanjawan, menolong membuat pembayaran balik pinjaman dan mengendalikan perbelanjaan harian dengan teratur. Program ini telah berjaya mengurangkan jumlah hutang yang tidak berbayar dan menghindari rumah dari di lelong.


Sehingga 31 Disember 2009, lebih daripada 110,000 pelanggan telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling dan lebih dari 35,000 pelanggan telah dibantu melalui Program Pengurusan Kredit.


Pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan AKPK tergolong daripada pelbagai lapisan masyarakat. Dalam kebanyakan kes, faktor yang menyumbangkan kepada masalah hutang dan ketidakupayaan membayar balik pinjaman disebabkan oleh perancangan kewangan yang lemah, tidak mempunyai pengetahuan membuat perancangan kewangan dan tidak berdisiplin di dalam kehidupan mereka. Terdapat juga peminjam yang bermasalah disebabkan oleh faktor luar jangkaan seperti masalah kesihatan, kematian pencari nafkah, kehilangan perkerjaan dan kegagalan perniagaan.


Melalui penggabungan pendidikan kewangan ke dalam program yang disediakan oleh AKPK fungsi sektor kewangan dapat diperbaiki dengan wujudnya peminjam yang bijak serta menggalakkan pembayaran dan budaya pembayaran semula pinjaman dengan teratur. Dengan bertambahnya pengetahuan kewangan, keperluan untuk menabung dapat diwujudkan, di mana ini merupakan asas kepada pengumpulan harta, sebagai persediaan untuk menghadapi perbelanjaan tidak di duga malah dapat membantu di dalam persaraan.


Pendidikan kewangan dan kredit merupakan penyelesaian ke atas semua masalah yang dihadapi oleh pengguna pada masa ini. AKPK telah menjadikan ianya sebagai matlamat untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan pendidikan bagi membantu individu untuk mengawal keadaan kewangan mereka dan membolehkan mereka hidup di dalam keadaan tenteram melalui cara pengurusan kredit yang wajar.

 
Designed by Integricity
Hakcipta Terpelihara 2008 oleh Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK)   Dasar Privasi    Login