AKPK Tiada Orang Tengah

Categories

Article from Sinar Harian

 

IPOH – Orang ramai diingatkan supaya tidak terpedaya dengan tindakan segelintir pihak yang mengaku sebagai orang tengah kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi menyelesaikan masalah hutang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir berkata, pihak terbabit cuba ambil kesempatan dengan mengenakan bayaran pada kadar tertentu sedangkan AKPK menyediakan khidmat percuma.

 

Menurutnya, individu yang mahu mendapatkan khidmat agensi itu boleh berurusan di 11 cawangan dan pejabat kaunseling kredit di seluruh negara tanpa perlu menggunakan khidmat orang ketiga.

 

“Kami nasihatkan orang ramai bahawa semua perkhidmatan yang disediakan adalah secara percuma.

“AKPK tidak pernah melantik pihak ketiga untuk membawa individu bermasalah hutang datang ke agensi kita,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Jelajah Bijak Wang di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh di sini, semalam.

 

Pada masa sama, katanya, kegagalan mengurus dan merancang kewangan peribadi antara punca utama seseorang itu terperangkap dengan masalah kewangan.

 

“Sejak penubuhan AKPK sembilan tahun lalu, lebih daripada 357,000 pelanggan mendapatkan khidmat kaunseling kewangan. Lebih 135,000 daripada mereka menyertai Program Pengurusan Kredit AKPK,” katanya.

 

Beliau berkata, orang ramai boleh mendapatkan khidmat nasihat kewangan dan mempelajari asas pengurusan kewangan secara bijak menerusi Jelajah Bijak Wang yang berlangsung hingga Disember 2015 di seluruh negara.

 

“Program ini direka untuk mendidik dan menanam amalan pengurusan kewangan berhemat. Ilmu pengurusan kewangan berhemat merupakan aset dan keperluan untuk individu berkerjaya atau bekerja sendiri.

 

Program Jelajah Bijak Wang akan berlangsung meliputi 14 negeri dan akan berakhir di wilayah Persekutuan Labuan pada 5 Disember 2015.