Pendidikan kewangan sebagai agenda RMK-11

Categories

Article taken from Utusan Malaysia

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. – Kerajaan perlu menjadikan pendidikan kewangan sebagai satu daripada agenda penting di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) bagi mendidik masyarakat tentang kepentingan pengurusan kewangan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Nasir berkata, kerajaan juga boleh memperuntukkan dana tertentu di bawah Bajet 2016 supaya aktiviti pendidikan kewangan dapat diperkasakan dari masa ke semasa.

 

Katanya, agenda tersebut dapat menggalakkan orang ramai membuat keputusan yang baik berhubung pengurusan kredit.

 

“Kita mahu RMK-11 ini menggariskan pendidikan kewangan sebagai satu agenda penting kepada negara dan ini membolehkan kerajaan memperuntukkan dana di bawah Bajet 2016 supaya program-program pendidikan kewangan dapat diperluaskan kepada segenap lapisan masyarakat,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada Simposium Kesejahteraan Kewangan Malaysia-Pertubuhan Kerjasama Pembangunan Ekonomi (OECD) 2015 yang dirasmikan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz di sini hari ini.

 

Yang turut hadir, Timbalan Gabenor BNM, Muhammad Ibrahim; Timbalan Setiausaha Agung OECD, Rintaro Tamaki dan Timbalan Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Kewangan dan Perusahaan OECD, Andre Laboul.

 

Simposium tersebut yang bertemakan `Ke­sejahteraan Kewangan’ itu menghimpunkan pemain-pemain utama sektor kewangan, perbankan tempatan dan antarabangsa dalam membincangkan kepen­tingan celik kewangan.

 

Menurut Azaddin, setakat ini lebih 360,000 individu daripada pelbagai latar belakang pekerjaan dan pendidikan mendapatkan perkhidmatan pengurusan kewangan dengan AKPK.

 

Katanya, daripada jumlah tersebut sebanyak 80 peratus individu yang berumur 30 hingga 50 tahun dibebani dengan hutang kad kredit termasuk pinjaman-pinjaman lain.