AKPK, MdI Bantu Rakyat Menguruskan Kewangan Secara Lebih Berhemah

Categories

LAWAS - “Agensi seperti Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dan Amanah Raya Berhad (ARB) yang diwujudkan ini bertujuan membantu rakyat dalam menguruskan kewangan dengan baik”, ujar Menteri Di Pejabat Perdana Menteri Nancy Shukri.

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perasmian Forum Perundangan Masyarakat “Forum Pendidikan Kewangan Bijak” anjuran Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

 

Majlis turut dihadiri Ahli Parlimen Limbang Haji Hasbi bin Haji Habibullah, Pengarah Jabatan Insolvensi Negeri Cawangan Sarawak Muhammad Azmi bin Mashud, Ketua Cawangan Amanahraya Berhad Usman Haji Hamid, Kaunselor dan Penceramah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit Cawangan Sarawak Yeo Wee Kiak dan ketua-ketua masyarakat.

 

“AKPK komited dalam membantu orang ramai menguruskan kewangan masing-masing dengan bijak termasuklah memberikan khidmat nasihat dalam menangani bebanan hutang secara percuma.

 

“Sejak awal penubuhannya hingga 31 Ogos lepas, lebih daripada 364, 248 individu mendapat khidmat nasihat dan kaunseling kredit AKPK untuk mengurus kewangan mereka. Dari jumlah tersebut, seramai 136, 733 daripada mereka yang menghadapi masalah membayar balik hutang mereka telah dibantu melalui Program Pengurusan Kredit (AKPK)”, ujarnya lagi.

 

MdI juga berperanan dalam menguruskan hal ehwal kebankrapan dan bukannya membankrapkan individu.

 

“Ada dua cara seseorang individu itu diisytiharkan bankrap iaitu oleh perintah mahkamah sama ada daripada permohonan oleh pemiutang (Bank atau mana-mana Institusi Kewangan) atau permohonan daripada individu itu sendiri.

 

“Sebaliknya seorang penghutang di jatuh hukum bankrap selepas mahkamah membuat Perintah Penerimaan dan Perintah Penghukuman terhadapnya. Selain daripada petisyen yang dikemukakan pemiutang, individu itu sendiri atau Penghutang boleh memohon kepada kepada Mahkamah melalui Petisyen Siberhutang untuk mengisytiharkan dirinya bankrap”, tegas Nancy lagi.

 

Sementara itu, golongan yang berumur dalam lingkungan 35 tahun hingga 44 tahun merupakan golongan bankrap paling tinggi setiap tahun.

 

“Statistik dari 2011 hingga Ogos tahun ini mencatatkan jumlah bankrap golongan itu ialah seramai 33,536 individu daripada 95,173 jumlah individu bankrap secara keseluruhannya dalam tempoh lima tahun itu.

 

“Manakala daripada jumlah lebih 95,000 itu, 66 483 bankrap adalah daripada golongan lelaki”, katanya ketika menekankan bahawa betapa pentingnya peranan MdI ini kepada rakyat.

 

Sehubungan itu, penganjuran program seperti ini memberi peluang kepada semua masyarakat dalam meningkatkan pengetahuan pengurusan kewangan yang efisyen agar statistik tersebut dapat dikurangkan.