AKPK Wujudkan Modul Pengurusan Kewangan Kepada Golongan Muda

Categories

Kuala Lumpur - Pendedahan berkaitan pengurusan kewangan peribadi kepada golongan muda terus dilaksanakan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, AKPK, di institusi pengajian tinggi, IPT seluruh negara.

 

Inisiatif antara lain, mengelakkan kumpulan berkenaan terbeban dengan hutang selepas pengajian sehingga diisytiharkan muflis pada usia muda.

 

Untuk tujuan itu, AKPK, setakat ini telah berkolaborasi dengan sekurang-kurangnya 80 IPT.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azaddin Ngah Tasir, mengakui pihaknya telah mendapat akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi mewujudkan modul pengurusan kewangan di IPT yang terlibat khususnya bagi pelajar tahun akhir.

 

Beliau sebelum itu merasmikan Program Jelajah Bijak Wang 2015 Peringkat Negeri Melaka di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Jalan Hang Tuah.

 

Pada program ini, pihak AKPK turut menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (ICYM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka.

 

Sementara itu, Rektor UiTM Melaka, Profesor Madya Dr. Mohd Adnan Hashim menyambut baik usaha sama itu, yang dilihat memberi ilmu pengurusan kewangan kepada pelajar sebelum tamat pengajian.