POWER! AKPK Infoline
1800-88-2575

PLKN perkenal Program POWER!

Posted at January 16, 2012

Disiarkan di Berita Harian Online bertarikh 14 Januari 2012

MELAKA: Program Pengurusan Wang Ringgit Anda (POWER!) kini diperkenalkan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bertujuan memberi pelatih pengetahuan asas kewangan agar cekap mengurus perbelanjaan pada masa depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr Ismail Ahmad, berkata program pertama kali diperkenalkan bermula tahun ini merupakan salah satu pembaharuan dan penambahbaikan yang dilaksanakan kerajaan dalam PLKN.

"Program ini secara tidak langsung dapat mewujudkan rasa tanggungjawab dan akauntabiliti terhadap sokongan kewangan yang diperoleh daripada ibu bapa," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja siri latihan PLKN 9/2012 di Kem PLKN Hutan Rekreasi Ayer Keroh di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Koid Swee Lian.

Beliau berkata, program itu merupakan kesinambungan daripada Program Pengurusan Kewangan Peribadi kendalian AKPK yang diperkenalkan kepada pelatih PLKN pada 2007.

Sementara itu, Ismail berkata, seramai 33,259 pelatih terbabit dalam siri latihan kali ini di 81 buah kem PLKN di seluruh negara iaitu jumlah kumpulan terbesar sejak ia diperkenalkan pada 2004.

Beliau berkata, seramai 622,000 pelatih berjaya menamatkan sesi latihan sejak program itu diperkenalkan.

Dalam pada itu, katanya, pelatih PLKN akan diberi cuti selama lima hari sempena perayaan Tahun Baru Cina bermula 21 hingga 25 Jan ini.

Katanya, ibu bapa atau penjaga dibenarkan menjemput pelatih pada petang 20 Januari. - BERNAMA