POWER! AKPK Infoline
1800-88-2575

Jenis-Jenis pinjaman

Posted at August 03, 2012

Article from Berita Harian dated 2 June, 2012

>> Pastikan institusi kewangan berlesen, kaji faedah dan tujuan pembiayaan

    Ada pelbagai jenis institusi kewangan di Malaysia. Lazimmnya, orang ramai akan menggunakan produk dan perkhidmatan bank perdagangan bagi aktiviti harian mereka.
    Bank perdagangan merupakan institusi kewangan yang dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menawarkan kemudahan kewangan kepada orang awam.
    Ada peminjam wang berlesen di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menawarkan pinjaman kepada orang awam. Bagaimanapun, berbeza dengan institusi kewangan, mereka tidak boleh menerima deposit.
    Peminjam wang tidak berlesen atau lebih dikenali sebagai ‘lintah darat’, aktiviti mereka adalah haram. Mereka mengenakan caj kadar faedah yang sangat tinggi dan sekiranya pinjaman tidak dapat dibayar, mereka akan mengancam dan melakukan keganasan untuk mendapatkan balik wang mereka.
    Jangan sesekali meminjam wang daripada mereka kerana pinjaman akan dibuat mengikut terma dan syarat yang sangat ketat. Anda juga perlu membayar caj faedah yang sangat tinggi dengan kompaun harian.
    Selain itu, anda meletakkan diri dan keluarga anda dalam keadaan bahaya sekiranya anda lewat membuat bayaran. Mereka juga memaksa anda membuat pinjaman tambahan untuk membayar hutang yang terdahulu.

Jenis pinjaman
    Terdapat pelbagai jenis pinjaman dan kemudahan kredit di pasaran. Kita akan membincangkan tentang pinjaman yang biasa ditawarkan kepada orang ramai dalam pembelanjaran ini.

Pinjaman Pelajaran
    Lazimnya ditawarkan oleh pihak kerajaan, agensi kerajaan dan organisasi swasta kepada pelajar kolej atau universiti untuk membantu membiayai pelajaran tinggi mereka.
Pinjaman ini ditawarkan pada caj faedah yang rendah dan perlu dibayar apabila pelajar tersebut beroleh pekerjaan. Kebanyakan pinjaman yang ditawarkan oleh kerajaan dan agensinya, seperti dana PTPTN, berasaskan konsep pusingan.
    Ini bermaksud terdapat suatu jumlah tetap dalam dana tersebut. Bayaran balik daripada peminjam peminjam sebelumnya akan dikumpulkan dan kemudian digunakan semula untuk memberi balik pinjaman kepada pemohon baru. 
    Siswazah yang tidak membuat pembayaran balik pinjaman pelajaran mereka, sebenarnya menafikan hak pelajar lain untuk menikmati manfaat pinjaman tersebut.

Pinjaman Peribadi
    Pinjaman ini ditawarkan bagi kegunaan peribadi anda, bukannya pembelian berjumlah besar seperti rumah atau kereta tetapi lebih kepada pembelian komputer peribadi atau bagi perkahwinan anda. 
    Berikutan proses permohonan pinjamannya mudah dan cepat, ia telah menarik minat ramai peminjam, ditambah pula kebanyakan bank tidak meminta sebarang penjamin atau cagaran.
    Sebaliknya, perlu diingatkan bahawa kadar faedah berbeza-beza dan mungkin tinggi.
    Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, tanya dulu diri anda soalan soalan penting sebelum anda memohon pinjaman seumpama ini. Pastikan yang anda benar-benar memahami tujuan pinjaman dibuat dan anda mampu untuk membuat pembayaran balik.

Pinjaman kereta
    Kebanyakan orang mahukan kenderaan sendiri sebaik-baik saja mula bekerja. Lazimnya, mereka membeli kereta melalui pinjaman yang dikenali sebagai pinjaman sewa beli (Hire Purchase – HP).
    Anda akan dikenali sebagai penyewa dan institusi kewangan pula sebagai tuan punya kenderaan itu. Sebagai penyewa, anda perlu membuat bayaran ansuran berdasarkan terma dan syarat yang telah dipersetujui di bawah perjanjian sewa beli. 
    Anda menjadi tuan punya kenderaan tersebut hanya setelah semua bayaran ansuran dijelaskan. Seperti pinjaman lain juga, tanya diri anda soalan-soalan penting sebelum membuat keputusan untuk meminjam. 
    Anda juga perlu membuat aliran tunai untuk mengira jumlah ansuran bulanan yang mampu anda bayar. Apabila anda membuat pinjaman kenderaan, anda boleh membuat
pinjaman sewa beli secara berurusan terus dengan bank atau melalui wakil penjual kereta, yang kemudiannya akan menyerahkan permohonan anda kepada bank berkenaan. 
    Sebagai penyewa, anda bertanggung jawab untuk membaca perjanjian dengan teliti; memastikan harga belian dan terma sewa beli adalah seperti yang dipersetujui.
    Memastikan anda mengetahui hak-hak anda di bawah Akta Sewa Beli dan juga memastikan anda mengetahui tanggungjawab anda di bawah perjanjian sewa beli untuk memastikan anda tidak melakukan apa-apa tindakan yang melanggar perjanjian.
    Menyimpan segala dokumen, seperti surat perjanjian sewa beli dan resit di tempat yang selamat selain membuat pembayaran hanya kepada orang yang diberi kuasa oleh bank.
    Sebelum pinjaman kenderaan dibuat, ketahui tentang kadar faedah efektif yang dikenakan kerana biasanya kadar ini lebih tinggi daripada kadar tetap yang ditawarkan. 
    Lihat contoh di bawah bagi pinjaman sebanyak RM 50,000 pada kadar faedah 5% bagi tempoh lima tahun. Kadar faedah efektifnya ialah 9.15%.
Ansuran bulanan:                   RM 1,042.00
Jumlah bayaran faedah:        RM 12,500.00
Jumlah pinjaman + faedah:   RM 62,500.00
Anggaran kadar efektif tahunan: 9.15%