AKPK bantu individu muflis

Categories

Categories: 

2 Februari 2018 - AGENSI Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) membantu menyelamatkan individu daripada muflis menerusi Pelaksanaan Perkiraan Sukarela (VA), susulan pengumuman Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) mengenai pindaan Akta Insolvensi 1967.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azaddin Ngah Tasir berkata, bagi membantu individu berpotensi muflis, AKPK memberikan penjelasan menyeluruh berkaitan VA dalam satu sesi taklimat, baru-baru ini.

Katanya, VA merupakan mekanisme penyelamat yang memberi peluang kepada penghutang berunding dan merancang satu pelan pembayaran semula dengan semua penyedia kredit, bagi mengelakkan tindakan lanjutan undang-undang kebankrapan.

"Taklimat itu menerangkan mekanisme VA bagi membolehkan institusi atau organisasi berkaitan membantu penghutang terlibat untuk membuat permohonan VA.

"Kami amat berbesar hati dalam menawarkan khidmat sebagai penama atau nominee melalui VA dan mengharapkan ia dapat membantu orang ramai terutama dalam menyelamatkan individu yang berpotensi bankrap melalui kerjasama daripada rakan strategik AKPK," katanya.

Sebagai peminjam, VA bantu  mengelakkan stigma kebankrapan dan bebas dari hilang kelayakan atau ketidakupayaan sebagai seorang muflis yang diperuntukkan di bawah Akta Insolvensi 1967 seperti kebenaran mengembara ke luar negara, menjadi pengarah syarikat, menjalankan perniagaan serta kekal bekerja.

Selain itu, para penghutang juga dilindungi dari sudut perundangan melalui perjanjian antara penyedia kredit dan penghutang, sekiranya mereka mematuhi pelan ansuran yang dipersetujui.

Dalam pada itu, lebih 683,169 pelanggan telah pun dicatatkan mendapatkan perkhidmatan kaunseling AKPK sehingga 31 Disember 2017, dengan seramai  210,814 daripada mereka dibantu melalui Program Pengurusan kredit (PPK).