Kurang pengetahuan urus kewangan

Categories

Categories: 

PERANCANGAN kewangan kurang baik didapati menjadi faktor utama kepada pengumpulan hutang berlebihan dalam kalangan peserta yang mengikuti Program Pengurusan Kredit (PPK) dikendalikan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Menurut rencana AKPK dalam Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2017 yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia, 43 peratus daripada peserta PPK kurang pengetahuan mengenai pengurusan kewangan peribadi dan tidak dapat membezakan antara keperluan dengan kehendak.

“Tanpa perancangan kewangan yang baik, seseorang individu cenderung berbelanja melebihi kemampuan dan menampung perbelanjaan dengan menambah hutang dalam jumlah.

“Ia dapat dilihat dalam kes dikendalikan AKPK di mana satu pasangan muda menanggung jumlah pinjaman perumahan, pinjaman peribadi dan hutang kad kredit yang agak banyak.

“Mereka mengumpulkan hutang sebanyak RM1.2 juta dalam tempoh empat tahun dan ia perlu ditampung oleh jumlah gaji bersama sebanyak RM20,000 sebulan,” katanya.

Rencana AKPK itu turut menyatakan 18 peratus daripada peserta PPK berhadapan dengan pengumpulan hutang berlebihan disebabkan kejutan seperti kehilangan pekerjaan atau kematian pencari nafkah dan perbelanjaan perubatan tidak dijangka serta simpanan terhad.

“Sebagai contoh, terdapat satu kes AKPK yang menyaksikan seorang peserta PPK terpaksa berhutang kerana isterinya jatuh sakit dan menyebabkan beliau mengambil pinjaman peribadi dan menggunakan kad kredit untuk membayar balik kos namun gagal membayar hutangnya,” katanya.