Tempias Kaki Judi

Categories

Article from Berita Harian dated 26 May 2012

 

SUDAH dua tahun Wanis (bukan nama sebenar) dan dua anak remajanya yang kini berusia 11 dan 12 tahun, hidup dalam pelarian. Menetap di Segambut untuk beberapa bulan, kemudian terpaksa berpindah ke lokasi lain sebagai tempat persembunyian.

 

"Penat hidup dalam pelarian. Masa serta wang ringgit terbang melayang. Anak-anak usah cakaplah. Seminggu bersekolah, lepas itu ponteng. Dan akhir sekali anak-anak terpaksa bertukar sekolah dek kerap berpindah randah. Sekarang saya duduk bersama mak dan ayah di Rawang. Bersembunyi di sini, dansetakat enam bulan ini, saya rasa rumah itu selamat untuk saya dan anak-anak," kata Wanis.

 

Berat mulutnya membuka bicara tetapi apabila diasak soalan, cerita sedih itu diluahkan ulas bibirnya. Lebih daripada itu Wanis ingin mendapatkan nasihat kolum ini demi merungkai masalah yang sudah bersarang di lubuk hatinya itu.

 

Membuka cerita, kata Wanis sejak setahun lalu, dirinya ibarat digantung tidak bertali.

 

Siapa sangka wanita secantik Wanis, sebaliknya bertemankan suami kaki judi. Habis gaji Wahab (bukan nama sebenar) dengan berjudi. Gajinya yang besar bukannya untuk menyara anak bini, tetapi meja judi. Mengenali Wahab di tempat kerja, Wanis mengakui bibit percintaan bermula kerana ketulusan sikap suaminya. Tetapi sejak berkawan dengan pekerja muda yang berkhidmat di kelab malam hotel, Wahab mengenali judi dan mula ketagih.

 

"Suami menjadi tidak terurus dan sering ponteng kerja. Kehidupan keluarga kami tidak ada masalah. Bayangkan kami berkahwin sudah 12 tahun. Pada tahun perkahwinan itulah yang dia mula menjadi tahi judi. Kalau nak katakan ada masalah lain, tidaklah pula saya ketahui kerana dia bukan kaki perempuan," katanya berterus terang.

 

Episod lara Wanis bermula apabila Wahab mulai beralih untuk mendapatkan wang menerusi pinjaman along. Bila hutang tidak mampu dilangsaikan, mulalah along bertindak ganas.

 

"Ketika duduk di rumah sendiri di Segambut, pernah beberapa kali rumah disimbah cat merah. Saya sangat malu dengan jiran tetangga. Untuk membayar hutang, rumah itu kami jual dan hidup menyewa di tempat lain pula. Saya masih beri ruang kepadanya untuk berubah.

 

"Apabila diberi nasihat, berubah jugalah sekejap. Lepas itu kembali ke perangai lama. Untuk lari daripada along pula bukan mudah. Sebelum tinggal bersama ibu di Rawang ini, sebenarnya sudah banyak tempat kami tinggal. Saya tahu anak-anak pun tidak selesa tetapi saya selalu nasihatkan mereka supaya bersabar. Mereka pun sudah faham dengan masalah ayahnya. Kadangkala mereka bertanya kepada saya `lepas ini kami nak bersekolah di mana pula ibu'?," katanya.

 

Wanis mengakui cintanya untuk Wahab lenyap dibawa angin sejak lelaki itu mengambil keputusan menyelamatkan dirinya sendiri dengan pulang ke rumah keluarganya di Kuching, Sarawak. Wanis, sebaliknya sudahlah ditinggalkan, terpaksa belajar hidup sendirian dan menjadi pelarian.

"Ketika bersama Wahab dulu, nasib baik along itu tidak kenal saya dan anak. Kalau tidak, pasti parah lagi. Pinjaman itu hanya RM2,000 tetapi menjadi RM5,000 untuk tempoh beberapa hari saja. Jika setahun dua, mesti angka itu cecah ratusan ribu ringgit agaknya," katanya.

 

Sejak tinggal bersama ibu di Rawang, dia dan anak-anak berasa lebih tenang. Wahab pernah beberapa kali menghubunginya menyatakan dia sihat dan sudah mendapat pekerjaan baru. Wahab ada mengajak Wanis untuk tinggal bersamanya d Kuching. Tetapi Wanis rasa tidak berbaloi.

"Sepatutnya kami sudah ada rumah sendiri. Kalau ke Kuching, saya perlu tinggal sebumbung dengan enam lagi adik-adiknya? Tak sanggup.

Dia yang sepatutnya berubah dan kembali ke pangkal jalan.

 

"Saya hanya mahukan perpisahan. Kalau saya ikut suami ke Kuching pun, belum tentu ada jaminan dia akan berubah. Nak suruh anak kami bertukar sekolah lagi? Saya sudah penat dengan semua itu. Biarlah saya berulang dari Rawang ke Putrajaya setiap hati untuk bekerja. Saya reda asalkan anak-anaknya selamat."

Apa kata peguam?

 

LAPORAN POLIS JADI JAMINAN PERLINDUNGAN

 

KERAP kita dengar ungkapan suami adalah pemimpin rumah tangga.

Sebagai ketua, suami adalah nakhoda mengemudi keluarganya ke jalan kebaikan. Justeru, suami perlu menjadi contoh dengan menunjukkan akhlak yang mulia terhadap ahli keluarga. Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: "Lelaki mukmin yang sempurna imannya adalah mereka yang baik tingkah lakunya danlembut terhadap isteri dan anakanaknya. (Riwayat Al-Tarmizi)

Kes minggu ini berkait rapat tanggungjawab seorang suami dalam menyediakan nafkah untuk keluarganya seperti mana firman Allah Taala di dalam Surah al- Baqarah ayat-223. Sekiranya suami tanpa sebab yang munasabah mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah, maka adalah berdosa hukumnya.

 

Begitu juga Seksyen 72 Akta Undang- undang Keluarga Islam (Wilayah- Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan kewajipan menanggung nafkah anak adalah terletak ke atas seorang ayah iaitu dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran sebagai mana yang munasabah.

 

Keharmonian hidup sesebuah keluarga terletak kepada nilai akhlak yang dimiliki setiap anggota keluarga. Keluarga yang mengamalkan akhlak mahmudah akan memberikan kesan yang baik kepada kehidupan danmembentuk kefahaman dan tujuan yang jelas untuk masa hadapan mereka.

 

Berdasarkan fakta kes, memang jelas sekali bahawa suami Wanis sudah terpalit dengan tahi judi. Perbuatan mungkar ini memang jelas bertentangan hukum Islam kerana kesannya amat buruk terutama kepada institusi keluarga. Saban hari ada saja kes dilaporkan di mahkamah yang berkaitan dengan keruntuhan rumah tangga akibat sikap buruk suami yang gemar berjudi.

 

Kepada golongan tahi judi, ingatlah bahawa Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 219 yang maksudnya: "Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya."

 

Selain itu, berjudi juga adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 18(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 jika disabitkan kesalahan akan menerima hukuman penjara atau denda atau kedua- duanya sekali.

 

Bagi Wanis, diharap berfikir masak-masak kerana sungguhpun perceraian itu dibenarkan Islam tetapi dibenci Allah. Seeloknya carilah orang tengah yang dihormati dan disegani dalam keluarga untuk menasihati suami dan membawanya pulang ke pangkal jalan. Sekiranya masih buntu dan tiada jalan keluar lain, Barulah meneruskan proses pembubaran perkahwinan secara persetujuan bersama oleh kerana kes ini lebih kepada soal keselamatan.

 

Berbincang elok-elok dengan suami tentang cara untuk berpisah kerana masing-masing tidak sehaluan dantidak dapat lagi membawa kebaikan kepada keluarga. Selepas suami melafazkan talak, pilih satu hari danhadir bersamasama ke Mahkamah Rendah Syariah untuk mendaftar perceraian. Cara ini tidak akan membabitkan proses turun naik mahkamah dalam kadar yang banyak.

 

Seterusnya mengenai ugutan dan ancaman along, Wanis perlu membuat laporan polis untuk jaminan perlindungan. Kita tidak tahu kemungkinan bahaya yang bakal menimpa akibat sikap ganas along. Melalui laporan polis, sekurang-kurangnya ada pemantauan daripada pihak berkuasa. Saya juga berharap pasangan ini merujuk kes mereka kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit di bawah seliaan Bank Negara. Sebagai suami, Wahab perlu segera bertaubat dan menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak kerana "Setiap dari kamu adalah pemimpin dan tiap-tiap pemimpin bertanggungjawab ke atas rakyatnya". Demikian, hendaklah kita bertakwa kepada Allah ke atas apa yang dipertanggungjawabkan dan diamanahkan kepada kita. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim