Guna khidmat AKPK

Categories

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Lebih 660,000 pemiutang tegar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diminta melunaskan kembali hutang mereka melalui bantuan sesi kaunseling dan pengurusan kewangan yang ditawarkan secara percuma oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, ini kerana hutang tertunggak kumpulan tersebut keseluruhannya adalah berjumlah RM5.4 bilion yang jika dibayar, boleh menampung dan menanggung seramai 800,000 pelajar baharu. “Mereka ini ada yang daripada kumpulan pertama sejak PTPTN ditubuhkan pada 1997, yang sehingga kini masih tidak bertanggungjawab untuk membayar kembali pinjaman PTPTN. “Ini melibatkan pinjaman pendidikan sebanyak RM150,000 ribu untuk bekas pelajar perubatan, namun rata-rata melibatkan pinjaman sebanyak RM24,000 ribu tiap seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PTPTN dan AKPK di Menara PTPTN di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi AKPK, Datuk Mohd. Hanif Sher Mohamed; Ketua Eksekutif PTPTN, Agos Cholan dan Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azzaddin Ngah Tasir.

MoU tersebut bagi memperkenalkan program pengurusan kredit (PPK) yang memerlukan peminjam PTPTN menjalani sesi kaunseling kewangan dan penyediaan jadual bayaran balik pinjaman secara lebih efektif.

Shamsul Anuar berkata, PTPTN mengambil kira suasana ekonomi semasa yang menyebabkan peminjam semakin sukar untuk membuat bayaran balik hutang. Sebagai langkah ke hadapan katanya, PTPTN mendapatkan bantuan kepakaran dan khidmat nasihat dari AKPK bagi membantu para peminjam untuk membuat balik bayaran dengan cara yang lebih mudah.

“Sehingga 31 Disember lalu, jumlah keseluruhan bayaran balik pinjaman yang diterima oleh PTPTN adalah sebanyak RM7.1 bi­lion daripada 1.2 juta bekas pelajar berbanding RM15.3 bilion daripada 1.8 juta peminjam yang sepatutnya membayar iaitu hanya 46 peratus sahaja,” katanya.

Menurutnya, walaupun jumlah bekas pelajar yang membayar pinjaman semakin bertambah, namun sasaran kutipan masih terlalu rendah bagi memenuhi permohonan dan permintaan ibu bapa dan pelajar untuk menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

“Namun, diharapkan dengan kaedah PPK ini, jumlah kutipan akan bertambah sebagai persedia­an kita untuk menampung pembiayaan pendidikan tinggi bagi sejuta lagi pelajar menjelang tahun 2020,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Hanif berkata, para peminjam PTPTN yang hendak menggunakan khid­mat AKPK boleh menghubungi talian bebas tol AKPK 1-800-88-2575 atau hadir ke mana-mana pejabat AKPK berdekatan untuk berbincang.

“Sehingga kini, AKPK telah berjaya membantu lebih dari 6,000 peserta yang mengalami masalah kewangan terutamanya bankrap dan kita berharap dengan adanya kerjasama dengan PTPTN ini, lebih ramai lagi peminjam atau pemiutang tegar dapat dibantu,” katanya.