PTPTN: Peminjam perlu tampil sebelum dikenakan tindakan

Categories

PETALING JAYA: Seramai 662,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mempunyai masalah untuk menjelaskan hutang digesa tampil bagi mendapatkan khidmat nasihat pengurusan kredit sebelum dikenakan tindakan tegas.

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, jumlah itu adalah yang dicatatkan sehingga Disember tahun lalu. Katanya, dalam hal ini peminjam boleh menerima khidmat nasihat melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

“PTPTN akan terus mengamalkan sikap mesra pelanggan tetapi jika kita tidak mempunyai pilihan lain, maka kita terpaksa mengambil tindakan penguatkuasaan sebagaimana yang diambil oleh insitusi kewangan lain,” katanya lapor Astro Awani.

Menurut Shamsul, khidmat nasihat itu juga adalah bagi membantu peminjam menstrukturkan semula pembiayaian ansuran bulanan mengikut kemampuan mereka.

Seramai 1.8 juta peminjam PTPTN masih belum membuat pembayaran balik dengan jumlah hutang mencecah RM15.3 bilion sehingga Disember 2015. Sepanjang tempoh itu, PTPTN telah berjaya mengutip RM7.1 bilion daripada 1.2 juta peminjam, iaitu hampir 47 peratus.