POWER! AKPK Infoline
1800-88-2575

Berhati-hati jadi penjamin

Dipos pada Ogos 03, 2012

Article from Berita Harian dated 23 June, 2012 

    Minggu lalu kita mempelajari pelbagai jenis pinjaman seperti pinjaman perumahan, pinjaman kereta, pinjaman peribadi dan asas sewa beli. 

    Kali ini, kita melihat pula akibat dan keperluan penting untuk menjadi penjamin. Anda mungkin diminta oleh ahli keluarga atau kawan untuk menjadi penjamin bagi pinjaman mereka. 
    
    Fikirlah dengan berhati-hati sebelum anda membuat keputusan kerana sebagai penjamin pinjaman, sekiranya peminjam gagal atau enggan membuat bayaran, anda adalah terikat dari segi undang-undang untuk membayar balik pinjaman tersebut. 

    Sekiranya anda setuju menjadi penjamin, pastikan sudah memahami ciri jaminan tersebut dan kesannya. Pastikan anda tidak menandatangani dokumen kosong atau borang yang tidak lengkap. 

    Jangan menjadi penjamin kepada orang yang anda sangsi akan kemampuannya membayar balik pinjaman. Sedar akan tanggungjawab yang perlu anda hadapi sekiranya terdapat pindaan yang dibuat kepada terma dan syarat pinjaman. 

    Bukanlah mudah sekiranya anda ingin menarik diri sebagai penjamin. Namun demikian, keputusan terletak kepada institusi kewangan berkenaan, yang mungkin setuju dengan penarikan diri anda dengan syarat bahawa anda perlu membuat pembayaran penuh baki pinjaman. 

    Ingat! Sekiranya peminjam meninggal dunia dan tidak ada sumber alternatif, institusi kewangan berhak menuntut bayaran daripada penjamin.

Kad kredit, kad caj dan lain-lain kad 
    Kad kredit merupakan kaedah pembayaran yang membolehkan anda membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan secara elektronik tanpa menggunakan wang tunai. 

    Apabila menggunakan kad kredit, pengeluar kad kredit akan membuat bayaran kepada peniaga bagi pihak anda dan kemudiannya meminta bayaran daripada anda melalui bank yang mengeluarkan kad itu. 

    Kaedah ini amat memudahkan pembelian barang-barang. Kad kredit adalah instrumen yang berguna sekiranya anda tahu cara menggunakannya dengan bijak dan antara faedahnya termasuklah:
• Adalah kaedah pembayaran yang mudah dan cekap.
• Boleh menggunakan penyata bulanan yang dihantar untuk menjejak perbelanjaan.
• Terdapat kad kredit yang menyediakan perlindungan kemalangan peribadi dan insurans perjalanan secara percuma, bergantung kepada jenis kad yang ditawarkan.
• Pengeluar kad kredit telah memperkenalkan skim-skim menarik seperti skim bayaran ansuran tanpa faedah, skim bayaran fleksibel dan pindahan baki pada 0%, untuk membolehkan anda memaksimumkan pembelian anda.
• Anda juga boleh memperoleh mata ganjaran sekiranya menggunakan kad kredit, yang biasanya tidak dinikmati sekiranya bayaran dibuat secara tunai.
• Anda boleh manfaatkan kadar faedah melalui struktur harga berperingkat berdasarkan rekod pembayaran bulanan yang baik 

    Kad caj adalah seperti kad kredit. Untuk kad kredit, anda boleh membuat pembayaran minimum setelah menerima penyata bil bulanan, tetapi tidak bagi kad caj. 

    Menerusi kad caj, anda mestilah membayar jumlah sepenuhnya setiap bulan mengikut penyata yang dihantar, jika tidak, caj bayaran lewat akan dikenakan 

    Kad debit pula lebih menyamai kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM). Anda tidak perlu mengeluarkan wang tunai dari mesin ATM tetapi boleh menggunakan kad debit di tempat yang menerima kad tersebut. 

    Jumlah yang dicajkan akan ditolak serta-merta daripada akaun bank anda. Seperti juga kad kredit, adalah mudah menggunakan kad debit kerana anda tidak perlu membawa wang tunai. 

    Kad prabayar boleh digunakan untuk membuat belian tetapi terhad kepada jumlah wang yang anda masukkan dalam kad tersebut. Ianya seperti kad prabayar telefon atau kad Touch & Go, di mana anda mempunyai wang yang terhad untuk dibelanjakan. 

    Apabila jumlah yang dimasukkan berkurangan, anda boleh menambah semula jumlahnya ke had maksimum yang telah ditetapkan oleh pengeluar kad berkenaan. Kad debit dan kad prabayar adalah pilihan yang lebih sesuai bagi mereka yang kurang berdisiplin dalam soal kewangan. 

    Lazimnya, had kad kredit adalah 2-3 kali ganda gaji bulanan anda. Sekiranya anda menggunakan had maksimum, anda harus ingat bahawa anda telah membelanjakan 2-3 gaji bulanan anda yang akan datang.