POWER! AKPK Infoline
1800-88-2575

AKPK bantu 2,460 elak jadi muflis

Dipos pada November 23, 2012

Petikan artikel dari Berita Harian, 8 November 2012

RM81 juta hutang bank berjaya diselesaikan

Kuala Lumpur: Seramai 2,460 daripada 81,596 peserta Program Pengurusan Kredit, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) berjaya menyelesaikan hutang perbankan mereka berjumlah kira-kira RM81 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Koid Swee Lian, berkata program diperkenalkan pada 2006 itu berjaya membantu individu yang mempunyai hutang tidak melebihi RM2 juta daripada diisytiharkan muflis disebabkan kegagalan membayarnya.

Dilarang tambah hutang
“AKPK sebagai perantara melakukan penstrukturan semula hutang melalui perbincangan dengan institusi perbankan terbabit. Sepanjang proses itu, peserta dilarang menambah hutang atau membuat pinjaman kewangan,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan buku kewangan terbitan AKPK kepada Perpustakaan Negara, di sini semalam.

Sumbangan 8,943 naskhah berjudul Celik Wang-Pengurusan Wang Secara Bijak dan POWER Pengurusan Wang Ringgit Anda itu, dicetak dalam bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil untuk diagihkan kepada 1,099 perpustakaan seluruh negara termasuk Perpustakaan Desa dan Perpustakaan Komuniti.

Setuju tawar modul
Swee Lian berkata, sehingga 30 September lalu, 198,870 pelanggan mendapatkan khidmat kaunseling AKPK termasuk 81,596 menjalani Program Pengurusan Kredit.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 75 pusat pengajian di seluruh negara membabitkan 45 institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta 30 politeknik bersetuju menawarkan modul Program Pengurusan Kewangan sebagai subjek elektif di pusat pengajian mereka dalam bentuk satu jam kredit atau penerapan dalam kurikulum.