VA kurangkan kadar muflis

Categories

Categories: 

KUALA LUMPUR: Penyediaan penyelesaian beban kewangan, Perkiraan Sukarela (VA), dijangka mengurangkan kadar muflis rakyat Malaysia mencecah 50 peratus.

Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), Datuk Abdul Rahman Putra Taha, berkata statistik terkini menyaksikan kira-kira 20,000 individu di Malaysia diisytiharkan muflis setiap tahun berpunca daripada pelbagai faktor.

Katanya, pola peningkatan berganda kadar muflis yang mencetuskan kebimbangan itu didapati berlaku sejak lima tahun kebelakangan ini.

"Purata umur individu yang diisytiharkan muflis adalah sekitar 45 tahun, malah penelitian terhadap masalah ini menunjukkan kebanyakan mereka berdepan tekanan dalam kalangan masyarakat.

"Tekanan yang dimaksudkan adalah merealisasikan keinginan melangkaui kemampuan seperti membeli kereta mewah, kediaman impian dan belanja kahwin sehingga ratusan ribu ringgit angkara desakan ibu bapa.

"Mangsa keadaan seperti ini boleh diselamatkan menerusi VA sebagai jalan penyelesaian terakhir daripada diisytiharkan muflis," katanya pada sidang media di Lanai Kijang, Bank Negara di sini, hari ini.

VA dilaksanakan lanjutan pengumuman MdI mengenai Akta Insolvensi 1967 dengan melantik Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sebagai penama dalam mengendalikan kaedah penyelesaian berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir, berkata mekanisme terakhir itu bakal memperuntukkan tempoh interim atau sementara selama 90 hari bagi menghalang tindakan perundangan diambil terhadap penghutang.

Sepanjang tempoh itu, katanya, AKPK akan turut menjalankan rundingan dengan pemiutang dan agensi berkaitan untuk merangka pelan penyelesaian kewangan mengikut kaedah tertentu.

"Kita mempunyai Program Pengurusan Hutang (DMP) untuk individu yang belum berdepan tindakan perundangan berikutan masalah kewangan.

"VA pula adalah jalan penyelesaian terakhir untuk individu yang akan dikenakan tindakan perundangan bagi mengelak mereka diisytiharkan muflis," katanya.

Azaddin berkata, kira-kira 69 peratus daripada individu yang mendapatkan khidmat nasihat AKPK ketika ini adalah dalam lingkungan usia antara 30 hingga 50 tahun.

Katanya, keterbukaan masyarakat mendapatkan khidmat nasihat AKPK adalah petunjuk baik kerana sebelum ini wujud persepsi negatif bahawa mana-mana individu yang tampil ke agensi berkenaan mempunyai masalah kewangan kronik.

"Kita ingin mengingatkan masyarakat supaya tidak mendapatkan khidmat jururunding ejen penyelesaian kewangan bebas yang semakin menular dengan menjanjikan pelbagai pilihan kepada pelanggannya," katanya.