AKPK selesai 15,439 
kes hutang RM617.4 juta

Categories

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Agensi Kaunseling dan Pe­ngurusan Kredit (AKPK) te­lah membantu menyelesaikan 15,439 kes hutang melibatkan RM617.4 juta menerusi Program Pengurusan Kredit (PPK) sehingga 31 Disember tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir berkata, PPK merupakan program yang diwujudkan untuk membantu pe­minjam memperbaiki kedudukan kewangan dalam menunaikan pembayaran hutang dan perbelanjaan hidup sekali gus mengelakkan daripada diisytihar bankrap.

Katanya, seramai 683,169 pe­langgan telah mendapatkan per­khidmatan kaunseling AKPK sehingga 31 Disember 2017 di mana 210,814 telah dibantu menerusi PPK.

“Perancangan kewangan yang lemah merupakan punca masalah kewangan utama iaitu merangkumi 43.3 peratus daripada kes yang diterima selain kos sara hidup tinggi (21.8 peratus) dan kegagalan dalam perniagaan sebanyak 14.5 peratus.

“Kami berharap lebih ramai bersikap proaktif dan hadir ke AKPK untuk bertanyakan tentang hal-hal kewangan sekali gus meningkatkan kadar celik kewangan di samping mengurangkan jumlah individu yang terjerumus dengan kedudukan kewangan yang buruk,” kata­nya dalam majlis taklimat Perkiraan Sukarela (VA) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi, Datuk Abdul Rahman Putra Taha dan Pe­ngurus Besar Operasi AKPK, Nor Fazleen Zakaria.

Taklimat VA yang dihadiri oleh penyedia kredit termasuk ketua bahagian kutipan hutang, wakil institusi kewangan dan organisasi berkaitan diadakan bagi menerangkan dengan lebih terperinci mengenai mekanisme VA susulan pindaan Akta Insolvensi 1967 tahun lalu.

VA adalah mekanisme penye­lamat yang memberi peluang kedua kepada penghutang untuk berunding dan merancang satu pelan pembayaran semula de­ngan kesemua penyedia kredit bagi mengelakkan tindakan lanjutan undang-undang kebankrapan.

Mengulas lanjut, Azaddin berkata, AKPK akan berperanan sebagai penama menerusi prosedur VA dalam usaha membantu menyelamatkan individu daripada diisytiharkan muflis.

Beliau berkata, selepas AKPK meneliti prestasi kewangan individu, maklumat berkenaan akan dibawa ke mahkamah yang akan mengeluarkan pe­rintah sementara selama 90 hari supaya AKPK boleh membantu menyediakan struktur pembayaran semula hutang.

“Perkhidmatan ini adalah lebih efisien kepada penyedia kredit sebagai satu daripada sumber alternatif pembayaran kerana penghutang akan dijamin untuk membayar semula hutang.

“Kami berharap VA akan mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak terlibat sekali gus dapat mengurangkan jumlah individu muflis di negara ini,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Abdul Rahman Putra berkata, VA dijangka dapat mengurangkan kadar individu muflis di negara ini sehingga 50 peratus.

“Pola peningkatan kadar muflis dilihat semakin meningkat sejak lima tahun kebelakangan ini dengan kira-kira 20,000 individu di Malaysia diisytiharkan muflis setiap tahun atas pelbagai faktor,” katanya.

Malaysia merekodkan 100,610 kes bankrap dari 2013 hingga 2017 dengan 34.4 peratus daripadanya melibatkan individu berusia antara 34 hingga 44 tahun manakala lelaki merangkumi 69 peratus da­ripada kes tersebut.