700,000 rakyat Malaysia dapatkan khidmat AKPK

Categories

Categories: 

KOTA BHARU – Lebih 700,000 rakyat negara ini mendapatkan perkhidmatan kaunseling kewangan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sejak badan itu ditubuhkan pada 2006.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azaddin Ngah Tasir berkata, daripada jumlah itu, lebih 200,000 telah memohon untuk mengikuti Program Pengurusan Kredit (DMP).

“Untuk cawangan Kelantan sahaja, AKPK Kota Bharu merekodkan 28,000 orang telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling kewangan dan daripada jumlah tersebut, lebih 4,000 orang telah memohon untuk mengikuti DMP.

"Kebanyakkan mereka yang mendapatkan perkhidmatan dengan AKPK adalah golongan umur 30 hingga 50 tahun. 46 peratus adalah masalah kegagalan menguruskan kewangan," katanya kepada media selepas merasmikan program Celik Pitih 2018 anjuran bersama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

Turut hadir, Ketua AKPK Negeri, Mohd Rizauddin Noor dan Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan, Jabatan Kesihatan Negeri, Ghazali Hizam, bagi mewakili Pengarah, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher.

Azaddin berkata, sehingga kini, 15,000 rakyat Malaysia yang mendapatkan perkhidmatan dengan badan itu telah menyelesaikan masalah hutang mereka sepenuhnya.