AKPK bantu 750,959 hadapi masalah kewangan

Categories

KUALA LUMPUR 26 Mei – Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) membantu sebanyak 750,959 individu yang menghadapi pelbagai masalah kewangan sejak 2006 sehingga 30 April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azaddin Ngah Tasir berkata, individu yang menghadiri sesi kaunseling kewangan itu telah diberikan khidmat nasihat tentang pengurusan wang di samping memperkasa kedudukan kewa­ngan masing-masing.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 225,244 peserta telah memohon menyertai Program Pengurusan Kredit (PPK) yang diwujudkan khas untuk membantu pe­minjam memperbaiki kedudukan kewangan dalam menunaikan pembayaran hutang dan perbelanjaan hidup sekali gus mengelakkan mereka daripada diisytihar bankrap.

“AKPK juga telah berjaya menyelesaikan 16,353 kes hutang di bawah PPK melibatkan jumlah nilai sebanyak RM650.4 juta.

“Kami berharap lebih ramai datang mendapatkan khidmat nasihat tentang hal-hal kewangan daripada AKPK sekali gus meningkatkan kadar celik kewangan di samping mengurangkan jumlah individu yang mempunyai rekod kewangan buruk,” katanya dalam Majlis Berbuka Puasa AKPK bersama pengamal media, di sini semalam.

Majlis dengan kerjasama RTM untuk rakaman program radio Teh Tarik 1 KLfm Istimewa Aidilfitri dan Raudhah Khas Raya Nasionalfm 2018 juga menampilkan penceramah bebas, Haryanto Rizal Rokman.

AKPK turut menyampaikan sumbangan sempena bulan Ramadan kepada anak-anak Keluarga Besar Norlina Alawi Berhad dan anak-anak asnaf dari Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Subang dan Madrasah Al-Baghdadi Tahfiz Al-Ikhwan.