PERKESO lancar Program Sinergi Sosial dengan kerjasama empat agensi

Categories

Categories: 

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama  Agensi Kaunseling Kewangan (AKPK), Giat Mara, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Malaysia Digital Coorperation (MDEC) hari ini melancarkan Program Sinergi Sosial bertujuan meningkatkan taraf ekonomi dan kualiti penerima faedah PERKESO.

Ia satu kerjasama strategik yang membolehkan individu menggunakan perkhidmatan sedia ada setiap agensi menerusi fungsi dan peranan jabatan masing-masing.

Timbalan Ketua Eksekutif PERKESO, Azlaily Abdul Rahman berkata kerjasama tersebut membentuk sebuah jaringan keselamatan sosial  yang memberi faedah kepada golongan kumpulan sasar yang layak.

“Selaku peneraju utama keselamatan sosial di Malaysia, PERKESO telah mengambil langkah proaktif dengan menjalin kerjasama dengan AKPK pada Oktober tahun lepas. Seramai 50 orang penerima faedah PERKESO telah mengikuti penstrukturan semula bebanan hutang mereka di bawah program AKPK.

”Secara tidak langsung ia turut membantu menyalurkan bantuan dan perlindungan yang berkesinambungan kepada penerima faedah PERKESO dan rakyat negara ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Sinergi Sosial dengan tema ’Sinergi Perkasa, Rakyat Sejahtera'.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AKPK, Azaddin Ngah Tasir, CEO AIM Mohamed Shamir Abdul Aziz serta wakil GIATMARA dan MDEC.

Azlaily menjangkakan lebih ramai prospek bukan sahaja dari kalangan penerima pencen PERKESO, tetapi juga yang berurusan dengan empat agensi lain yang bergabung akan menikmati kemudahan penyaluran bantuan yang lebih menyeluruh.

Beliau mengalu-alukan mana-mana agensi keselamatan sosial di negai ini yang mahu bekerjasana dalam Program Sinergi Sosial berkenaan.