75 peratus yang dapatkan kaunseling daripada akpk berusia 30-50 tahun

Categories

Categories: 

KUALA LUMPUR, 17 Okt : Sebanyak 75 peratus daripada 243, 699 orang yang mendapatkan kaunseling daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di bawah Program Pengurusan Hutangnya (DMP), berusia dalam lingkungan 30-50 tahun.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya Azaddin Ngah Tahir berkata masalah mereka berpunca daripada perancangan kewangan yang lemah dan pengumpulan hutang disebabkan komitmen yang tinggi seiring dengan peningkatan usia.

 

Beliau berkata pada akhir September tahun ini, mereka yang mendapatkan bantuan di bawah DMP membentuk 29.8 peratus atau seramai 243, 699 orang daripada jumlah keseluruhan 817,851 orang.

 

“Dari segi kumpulan pendapatan, 85 peratus daripada mereka dalam DMP memperoleh pendapatan RM5,000 dan ke bawah sebulan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program “Pay on Time Campaign” di sini, hari ini.

 

Azaddin berkata AKPK juga melihat peningkatan orang yang datang mendapatkan kaunseling sejak 2016, disebabkan peningkatan kesedaran susulan pelbagai kempen capaian yang dijalankan oleh AKPK serta langkah proaktif individu itu sendiri untuk menyelesaikan masalah kewangan mereka.

 

Kira-kira  30 peratus daripada mereka datang berikutan cadangan daripada rakan-rakan dan saudara mara manakala 28 peratus dirujuk kepada AKPK oleh bank-bank, katanya.

 

Beliau berkata setakat ini, 18,009 kes hutang daripada DMP telah berjaya diselesaikan sepenuhnya yang berjumlah RM718.4 juta.

 

Mengenai program ‘Pay On Time Campaign’ beliau berkata AKPK mengambil inisiatif untuk meningkatkan kesedaran mengenai perancangan kewangan yang baik dan menggalakkan pengurusan kewangan berhemat.

 

Kempen itu diadakan secara kerjasama dengan Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM).

 

“Menerusi kempen ini, AKPK menyasar mengetengahkan bagaimana membayar bil dan pinjaman tepat pada masa dapat menyumbang kepada kesejahteraan kewangan dan sebaliknya, bagaimana kegagalan berbuat demikian akan mensabotajkan kedudukan kewangan mereka, kehidupan keluarga dan diri mereka sendiri,” kata Azaddin.

 

Memetik hasil dapatan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi pada 2016, beliau berkata tingkah laku pembayaran rakyat Malaysia kurang memberangsangkan dengan hanya 55 peratus daripada mereka membayar bil tepat pada masa.

 

Selain itu, katanya, kaji selidik terhadap Generasi Y (yang lahir antara 1977 dan 1994) yang dijalankan oleh Asian Institute of Finance menunjukkan bahawa 70 peratus pemegang kad kredit cenderung membayar bayaran bulanan minimum, manakala 45 peratus tidak membayar hutang mereka tepat pada masa.

 

“Sekiranya trend ini berterusan, kita mungkin akan melihat peningkatan tahap keberhutangan dan bankrap yang melibatkan isi rumah Malaysia,” katanya.