AKPK selesai 10,705 kes pinjaman Terima bayaran balik RM437.4 juta menerusi PPK

Categories

KUANTAN 10 Ogos - Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyelesaikan sebanyak 10,705 kes melibatkan baya­ran balik pinjaman berjumlah RM437.4 juta menerusi Program Pengurusan Kredit (PPK) sejak lebih 10 tahun lalu.

Ketua Jabatan Pendidikan Ke­­wangan AKPK, Nor Akmar Ya­a­­kub berkata, PPK merupakan antara perkhidmatan yang ditawarkan bagi membantu individu membuat penstrukturan semula hutang pelanggan secara menyeluruh dengan persetujuan daripada penyelia-penyelia kredit.

“Sejak 2006, seramai 155,147 daripada 449,834 pelanggan kami menyertai PPK kerana mempu­nyai beban hutang sehingga tidak berupaya membayar balik pinjaman disebabkan kegagalan dalam perancangan kewangan.

“Kita perlu mempunyai pelan perancangan dan pendidikan da­lam menguruskan kewangan yang mana AKPK adalah tempat sesuai sebagai rujukan terutama untuk mendapat khidmat kaunseling,” katanya kepada pemberita selepas taklimat AKPK bersama institusi kewangan dan agensi kerajaan serta swasta, di sini hari ini.

Menurut Nor Akmar, masih ramai beranggapan agensi berkenaan menawarkan perkhidmatan kepada peminjam bermasalah tetapi hakikatnya AKPK berpera­nan membantu individu secara proaktif sama ada peminjam atau bakal peminjam.

Katanya, AKPK membantu me­rancang kewangan secara lebih bijak dan membuat keputusan kewangan yang baik.

“Mereka (peminjam) seharus­nya datang ke AKPK sebelum diisytiharkan muflis dan bukannya datang selepas muflis untuk berjumpa kaunselor bagi melakukan penstrukturan semula hutang-hutang mereka,” ujarnya.

Tambahnya, AKPK kini beker­jasama dengan 83 institusi pe­ngajian tinggi (IPT) menghasilkan modul pengurusan kewangan pe­ribadi khusus kepada pelajar sebagai subjek elektif atau kokurikulum.

“Semua ini dilaksanakan demi masa depan generasi muda ke arah melaksanakan kewangan yang le­bih terancang dan mengelak dibe­lenggu hutang tidak terkawal.

“Statistik menunjukkan seba­nyak 55 peratus peminjam terjebak dengan hutang disebabkan pinjaman peribadi dan kad kredit. Individu paling muda diisytiharkan muflis berusia 23 tahun,” katanya.