Peranan Pegawai Psikologi Dalam Perkhidmatan Awam Perlu Diperkemas

Categories

Categories: 

PUTRAJAYA, 7 Okt (Bernama) -- Peranan pegawai psikologi di perkhidmatan awam perlu diperkemaskan agar peranan mereka bukan setakat kaunseling tetapi memberi fokus terhadap mencapai kesejahteraan optimum dalam kehidupan insan.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Sabariah Hassan berkata dengan ledakan teknologi dan asakan industri yang pesat dalam negara, manusia semakin stres.

Katanya tekanan kerja dan perkara-perkara persekitaran ini akan menjejaskan kualiti perkhidmatan.

"Justeru, pengurus sumber manusia dan pegawai psikologi perlu bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan pengurusan sumber manusia mempunyai kualiti yang sesuai" katanya ketika merasmikan persidangan Psikologi Dalam Perkhidmatan Awam 2016 di sini.

Sementara itu Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam, Dr. Abdul Jalil Hassan berkata perhubungan yang baik ditentukan oleh kesejahteraan psikologi yang dimiliki oleh setiap individu dalam perkhidmatan awam.

Beliau berkata anggota sejahtera akan mampu menghasilkan kualiti perkhidmatan yang cemerlang dan produktiviti yang gemilang", ujarnya.

"Bagi menentukan kesejahteraan seluruh perkhidmatan awam, maka peranan psikologi telah diperkemaskan.

Pegawai psikologi berfungsi dan berperanan meningkatkan kesejahteraan insan dan peranan mereka bukan hanya berkisar kepompong kaunseling tetapi bakal memberi fokus kepada perkhidmatan yang lebih besar bagi memastikan setiap insan mencapai kesejahteraan optimum dalam kehidupan", tambahnya lagi.

Beliau berkata lapan legasi kesejahteraan telah dikenalpasti iaitu sosial, minda, emosi, fizikal, spiritual, kewangan, pekerjaan dan persekitaran. Mereka yang mencapai kesejahteraan menyeluruh bakal menyumbang potensi dirinya dengan lebih bahagia dan produktif.

Katanya kajian juga menunjukkan pekerja yang bahagia akan lebih terlibat dengan organisasinya dan sememangnya mereka yang terlibat ini adalah mereka yang produktif.

Persidangan tahunan sejak tahun 1995 anjuran Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diadakan dalam usaha mempertingkat dan menyebarluaskan peranan perkhidmatan psikologi dalam pengurusan sumber manusia Perkhidmatan Awam.

Persidangan pada kali ini memberi fokus kepada usaha memantap dan mengukuhkan pembangunan modal insan serta meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian Perkhidmatan Awam.

Melaluinya, terdapat empat aplikasi psikologi iaitu Aplikasi Psikologi dalam Penilaian Personel, Aplikasi Psikologi dalam Pembangunan Personel, Aplikasi Penyelidikan Psikologi dan Aplikasi Psikologi Dalam Intervensi.

Lebih 800 penjawat awam terdiri Pegawai Psikologi, Kaunselor Universiti dan Sekolah serta Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) dari pelbagai Kementerian serta jabatan dan agensi di seluruh negara menghadiri persidangan itu.

Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Datuk Dr Abdul Halim Mohd Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Azaddin Ngah Tasir. Dalam majlis berkenaan juga, seramai 37 peserta menerima sijil tamat kursus 'Financial Wellness Advisor'.

-- BERNAMA