Hutang antara penyumbang masalah kesihatan

Categories

Categories: 

Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian, 'sikit-sikit, lama-lama jadi bukit' antara peribahasa yang sinonim dengan konsep tabungan dalam kehidupan seharian. Namun, pengajaran daripada peribahasa yang berbentuk nasihat ini dilihat semakin dilupakan berdasarkan senario terkini kedudukan kewangan isi rumah di Malaysia. 

Laporan Institut Penyelidikan Khazanah mengenai keberhutangan dan tabungan isi rumah mengundang pelbagai persepsi dan persoalan rakyat, mahupun penggubal dasar ekonomi negara. Kadar keberhutangan isi rumah di Malaysia adalah 89.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2015, dengan kadar tabungan isi rumah secara purata bagi tempoh 2006 hingga 2013 adalah pada kadar 1.6 peratus daripada pendapatan boleh guna. 

Kenyataan itu turut disokong kajian Bank Negara Malaysia, yang mendapati hanya enam peratus rakyat Malaysia mampu meneruskan kehidupan tidak lebih enam bulan dan 18 peratus sehingga tiga bulan jika kehilangan sumber pendapatan. Tabungan isi rumah rendah pada masa ini boleh dikaitkan dengan kedudukan kewangan isi rumah yang rapuh kerana jika keberhutangan isi rumah tinggi disebabkan aktiviti pembelian aset fizikal seperti rumah, dalam keadaan ekonomi perlahan, sudah tentu aset itu sukar dicairkan dengan kadar segera. Justeru, peranan tabungan dan perlindungan takaful (insurans) dilihat amat penting dalam situasi kehidupan semasa. 

Suntik pertumbuhan ekonomi 

Hutang, sekiranya pada kadar berhemah dan disokong dengan kemampuan membayar semula yang teratur, ia sebenarnya membantu kehidupan seharian dan perkembangan sektor kewangan dan ekonomi negara. Pembelian atau penggunaan isi rumah secara teorinya menyuntik pertumbuhan ekonomi negara melalui penjanaan hasil pengeluaran, peluang pekerjaan dan perniagaan. 

Dengan perkembangan pesat sektor kewangan negara, ini secara tidak langsung menyumbang kepada kecekapan dalam kos perkhidmatan setiap transaksi, seterusnya menyumbang kepada peningkatan produktiviti negara. Pada spektrum berbeza, bebanan hutang yang tinggi memberi kesan kepada kesihatan manusia. 

Sekumpulan penyelidik mengkaji hampir 33 kajian berkaitan kesan keberhutangan individu terhadap kesihatan dalam jurnal bertajuk Health effects of indebtedness: A systematic review. Kajian itu mendapati individu yang mempunyai bayaran pinjaman tertangguh lebih kerap dikaitkan dengan kemurungan dan tindakan jenayah seperti membunuh diri berbanding mereka yang tiada masalah kewangan. 

Dengan interaksi dunia tanpa sempadan, sering si pemberi pinjam terdiri daripada individu, rakan, ahli keluarga menyuarakan rasa tidak puas hati kepada peminjam berdasarkan cara hidup mewah seperti melancong ke luar negara dan membeli-belah barangan berjenama yang digambarkan di platform media sosial, walaupun belum membayar hutang.

Perubahan corak perbelanjaan isi rumah masa kini yang didorong perubahan cita rasa dan proses liberalisasi ekonomi, seterusnya menimbulkan isu keperluan berbanding kehendak dan kemampuan. Daripada konteks agama, Islam sering menitikberatkan dan menekankan kepada kehidupan bersederhana (wasatiyah) yang melarang berbelanja berlebihan sehingga memudaratkan diri. 

Di sebalik kerisauan perubahan corak perbelanjaan isi rumah, penyelidikan fasa kedua Institut Penyelidikan Khazanah mendapati jurang pengagihan pendapatan mengecil antara golongan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), pertengahan 40 peratus dan atasan 20 peratus (T20) dengan pertumbuhan pendapatan golongan B40 lebih tinggi berbanding kumpulan lain. 

Ini dapat dilihat dengan pekali Gini pada 2012, pada 0.431 berkurangan kepada 0.401 pada 2014. Dalam perkembangan lain, dapatan kajian awal oleh Atkinson dan Messy yang dibiaya beberapa organisasi antarabangsa seperti Bank Dunia dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) mendapati kadar celik kewangan rendah di Malaysia mempunyai kaitan dengan isi rumah berpendapatan rendah dan tahap pendidikan rendah. 

Terap pendidikan kewangan 

Jika dilihat secara tuntasnya, mempelajari ilmu asas kewangan adalah perlu bagi semua golongan dan segenap lapisan masyarakat. Konsep pengurusan kewangan individu mencakupi ruang lebih luas iaitu pengurusan aliran tunai bulanan isi rumah, pengetahuan mengenai tabungan, pengetahuan mengenai pinjaman, penggunaan kad kredit, pembelian rumah, pembelian kereta, pengurusan hutang mahupun pengurusan wang persaraan. 

Usaha agensi seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB), boleh disepadukan dengan idea segar, selaras dengan perkembangan masyarakat bagi memastikan matlamat pendidikan kewangan tercapai. 

Pendidikan kewangan pada usia muda melalui penerapan dalam kurikulum dan aktiviti ko-kurikulum di sekolah, pendidikan kewangan diberikan kepada penerima bantuan daripada kerajaan seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan pemberian sejumlah geran latihan untuk membiayai latihan bagi pekerja di bawah Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (KWPSM) antara usaha yang boleh dilaksanakan pada masa depan.