News - Posted at

Oct 31,2016

AKPK Galak Pendidikan Kewangan Pada Hari Tabungan Sedunia

Categories

Categories: 

KUALA LUMPUR: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) akan terus mewujudkan kesedaran dan menyebarkan pendidikan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia sejajar dengan wawasannya untuk mewujudkan isi rumah yang lebih berdaya tahan.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, AKPK berkata usaha ini akan menjurus kepada pengurusan dalam perancangan kewangan yang lebih baik serta menggalakkan amalan menabung dalam kalangan masyarakat.

Menerusi Hari Tabungan Sedunia hari ini, AKPK mencipta pelbagai kandungan untuk menggalakkan tabungan, seperti artikel, maklumat grafik dan video untuk pengguna, dan boleh dilihat menerusi laman web www.akpk.org.my laman rasmi Facebook AKPK.

Objektif Hari Tabungan ini, kali pertama disambut di Milano, Itali pada  1924, bertujuan menggalakkan tabungan dan menyemai minat dalam kalangan orang ramai di seluruh dunia.

"AKPK telah membangunkan pelbagai video, artikel dan infografik pendidikan kewangan untuk media sosial, semata-mata untuk Hari Tabungan Sedunia ini," katanya.

Menerusi kerjasama institusi kewangan dan rakan kongsi strategik, peluang ini dimanfaatkan untuk meningkatkan kesedaran dan menyemai pengetahuan mengenai kewangan dalam kalangan pengguna bagi memastikan masyarakat celik kewangan.

Sementara itu, penerbitan filem pendek pertama AKPK 'Tabung Masa Depan', bertujuan mendidik dan menyebarkan kesedaran kepada orang ramai mengenai  pentingnya individu mempunyai simpanan dan untuk masa depan yang lebih baik walaupun menghadapi kesulitan hidup.

Filem ini memaparkan pencetus emosi untuk mendapatkan segmen sasaran dengan cepat dan memastikan mereka terlibat sama.

"Sudah menjadi aspirasi AKPK untuk menjadi nama isi rumah dalam menggalakkan kesejahteraan kewangan. Kami kini bertindak sebagai pemangkin untuk memberi inspirasi dan memperkasa orang ramai untuk melibatkan diri dengan kewangan mereka dan memulakan perjalanan mereka sendiri," kata AKPK.