AKPK pandu perancangan kewangan sebagai cara hidup

Categories

Categories: 

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) berusaha mewujudkan kesedaran dan menyebarkan ilmu pendidikan kewangan kepada masyarakat, demi pengurusan kewangan yang lebih baik dan seterusnya memberikan galakan kepada mereka untuk menyimpan.

Sehubungan itu, AKPK telah mencipta pelbagai kandungan untuk menggalakkan tabungan, seperti artikel, infografik dan juga video untuk para pengguna sempena Hari Simpanan Sedunia pada hari ini.

Kesemua ini boleh didapati di laman web AKPK www.akpk.org.my serta laman Facebook AKPK Official.

AKPK berkata, usaha itu sejajar dengan wawasan serta mandat daripada Bank Negara Malaysia untuk mewujudkan masyarakat yang lebih berdaya tahan di dalam hal pengurusan kewangan.

Menurutnya, pada setiap 31 Oktober, masyarakat di seluruh dunia menyambut Hari Simpanan Sedunia, yang pertama kalinya disambut di Milano, Itali pada tahun 1924.

Objektifnya adalah untuk menggalakkan simpanan dan menyemai tabiat menabung dalam kalangan orang ramai.

Dengan kerjasama institusi-institusi kewangan dan rakan kongsi strategik, AKPK turut serta membangunkan kesedaran dan menyemai pengetahuan kewangan agar menghasilkan masyarakat yang celik tentang pengurusan kewangan.

"Pendidikan kewangan adalah sangat penting, terutamanya di dalam iklim ekonomi semasa di mana ramai pengguna tidak mempunyai pengetahuan kewangan yang mencukupi untuk membuat keputusan dengan berkesan.

"AKPK kini lebih memberi tumpuan kepada program-program pendidikan kewangan untuk mencegah masyarakat daripada terjerumus di dalam keberhutangan luar kawalan, yang mana akhirnya mereka akan memerlukan bantuan dalam menstrukturkan semula pinjaman mereka," katanya.

Penghasilan filem pendek pertama AKPK, Tabung Masa Depan, adalah untuk mendidik dan menyebarkan kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan untuk menyimpan demi masa depan yang lebih baik - sungguhpun menghadapi kesulitan dalam kehidupan seharian.

Video yang penuh dengan mainan emosi ini dijangka memberi impak yang hebat kepada para penonton.

Adalah menjadi aspirasi AKPK untuk tampil sebagai tonggak utama dalam menyebarluaskan pendidikan kewangan.

AKPK kini bertindak sebagai pemangkin untuk memberi inspirasi dan kuasa pengetahuan kepada masyarakat untuk menguruskan kewangan mereka sendiri.

Dengan usaha, inisiatif dan sokongan daripada masyarakat dan institusi kewangan, AKPK menjangkakan peningkatan dalam pengetahuan pendidikan kewangan di kalangan masyarakat Malaysia, di samping amalan pengurusan kewangan yang berhemah sebagai cara hidup.