Runding AKPK dulu

Categories

Categories: 

Kuala Lumpur: Pihak bank diminta berunding dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sebelum mengisytiharkan mana-mana individu sebagai muflis.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, pihak bank perlu mengambil kira keadaan semasa terutama peminjam yang berdepan masalah menyelesaikan pinjaman perumahan.

“Sebenarnya saya bertemu dengan AKPK, saya dapati ada bank yang berunding dengan AKPK, tetapi ada juga bank lebih fikirkan keuntungan dan lebih suka untuk fokus lelongkan kes pinjaman yang bermasalah.

“Jadi kalau kita tambah baik prosedur ini, disyaratkan setiap bank mesti berunding dengan AKPK apabila berdepan dengan pinjaman bermasalah terutama pinjaman perumahan. Jadikan penyelesaian yang lebih kreatif, bayar sewa supaya tidaklah terikat dengan masalah kebankrapan,” katanya ketika membahaskan Bajet 2017 Peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, Jabatan Insolvensi Malaysia juga perlu memainkan peranan dalam menambah baik penyelesaian kes pinjaman perumahan supaya ia dirujuk terlebih dulu dengan AKPK.