Orang kita liat bayar punca hutang

Categories

Categories: 

LAPORAN Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai hutang isi rumah di negara ini, antara tertinggi di Asia, iaitu sebanyak 89 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) amat menggemparkan. Lebih-lebih lagi apabila Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendedahkan sejak penubuhan AKPK pada 2006 hingga 30 September 2016, lebih 482,138 pelanggan mendapatkan perkhidmatan kaunseling dan seramai 161,739 daripada jumlah itu berjaya dibantu melalui Program Pengurusan Kredit AKPK. 

Mengamati angka itu, saya fikir adakah masalah keberhutangan ini disebabkan mudahnya akses kepada kemudahan kredit dan pinjaman dalam sistem pasaran dan kewangan negara kita? Atau sememangnya rakyat Malaysia perlu dibantu untuk mengurus pinjaman atau hutang kerana kurangnya pengetahuan, kemahiran dalam soal pengurusan kewangan peribadi serta sikap ambil tidak kisah terhadap hutang yang dibuat? Atau ia mendedahkan sikap orang Malaysia yang suka berhutang! 

Apa yang menariknya, dapatan AKPK menunjukkan punca utama pelanggan mereka berdepan masalah kewangan adalah disebabkan perancangan kewangan lemah. Ini boleh diterjemahkan atau dalam bahasa paling mudah, ialah mereka tidak tahu merancang kewangan. Barangkali ada betulnya kerana statistik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pula menjelaskan sehingga September 2016, seramai 739,087 peminjam tidak pernah membuat bayaran balik pinjaman PTPTN dengan jumlah tertunggak sebanyak RM5.2 bilion. 

Saya kira angka yang terpapar itu bagaikan berkait antara satu sama lain dengan isu utama, tabiat berhutang. Ini diperkukuhkan lagi dengan pendedahan Jabatan Insolvensi Malaysia mengenai 18,457 orang diisytiharkan muflis pada 2015 dengan tiga sebab utama kebankrapan adalah pinjaman peribadi (28.3 peratus), pinjaman sewa beli kenderaan (25.6 peratus) dan pinjaman perumahan (13.6 peratus). 

Tiga punca utama peminjam gagal membayar hutang adalah disebabkan oleh pengurusan kewangan yang lemah (26.2 peratus), tidak mengetahui mengenai hutang (23.6 peratus) dan krisis ekonomi (18.3 peratus). 

Saya dapati, kajian dalam kalangan ahli akademik tempatan turut menunjukkan rakyat Malaysia, memiliki tahap literasi kewangan yang rendah-sederhana. Yang lebih mengejutkan lagi adalah budaya 'berhutang' sudah mula menular dalam kalangan anak-anak. Saya sendiri sudah menjalankan kajian mengenai kompetensi dan sosialisasi kewangan dalam kalangan kanak-kanak, membabitkan 800 pelajar sekolah Tahun Satu Malaysia pada 2014. 

Keadaan serius 

Dapatan kajian itu, menunjukkan majoriti (80 peratus) pelajar sama ada pernah meminjamkan wang kepada rakan atau meminjam wang daripada rakan. Persoalannya ialah bagaimana kanak-kanak ini sudah pandai berhutang dalam konteks mereka. Ini suatu yang digusari dan perlu diberi perhatian serius. Sebenarnya senario di atas, jelas menunjukkan rakyat Malaysia secara umumnya mempunyai bebanan hutang yang tinggi. Keadaan ini serius, amat membimbangkan serta perlu diberi perhatian dan bantuan segera. 

Jika dianalisis daripada data dan statistik di atas, saya fikir, faktor diri sendiri antaranya kurang berpengetahuan dan berkemahiran pengurusan kewangan peribadi, sikap mementingkan kebendaan (materialistik) dan sikap ambil mudah terhadap hutang lebih banyak menyumbang kepada masalah hutang, berbanding faktor luaran yang sukar dikawal misalnya krisis ekonomi. 

Sehubungan itu, saya berpandangan pendidikan kewangan dilihat mampu membantu rakyat atau pengguna berdepan situasi ekonomi tempatan dan global yang tidak menentu serta mampu menangani krisis kewangan peribadi dan keluarga yang semakin meruncing. 

Dalam menangani isu ini, saya kira semua pihak perlu memainkan peranan aktif dalam memastikan program literasi kewangan boleh diakses kepada semua kumpulan masyarakat tanpa meminggirkan mana-mana pihak termasuk golongan minoriti. Hakikatnya, Malaysia sungguh bertuah kerana dalam hal ini, negara kita terkehadapan dalam program literasi kewangan kerana terdapat pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang secara langsung atau tidak langsung menyediakan dan mengendalikan program pendidikan kewangan, bertujuan meningkatkan tahap literasi kewangan, termasuk inisiatif BNM melalui penubuhan AKPK. 

Justeru, saya mencadangkan agar program literasi kewangan terus menjadi salah satu agenda nasional selaras hasrat untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. Langkah ke arah itu digerakkan dengan memperkenalkan kepada pelajar kepentingan merancang dan mengurus kewangan pada peringkat sekolah lagi. 

Ini dapat dilihat apabila BNM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, melaksanakan modul penerapan pendidikan kewangan kepada murid sekolah rendah dan menengah. Bukan itu sahaja, pihak industri seperti Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) dan Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) juga turut menawarkan program pendidikan kewangan mereka tersendiri. NGO seperti Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) juga mempunyai program dan modul literasi kewangan mereka. 

Walaupun pelbagai program dirangka, persoalannya ialah mengapa masih ramai lagi rakyat kita berdepan masalah berhutang. 

Penulis adalah Ketua Jabatan Pengurusan Sumber & Pengajian Pengguna Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)