AKPK selesai masalah kewangan RM476.6j

Categories

Kuala Lumpur, 6 Dis. - Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) berjaya menyelesaikan 11,672 kes melibatkan pengurusan kewangan setakat 31 Oktober lalu dengan jumlah keseluruhan bernilai RM476.6 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azaddin Ngah Tasir berkata, sejak beroperasi mulai April 2006, seramai 492,793 pelanggan telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling dengan 164,272 daripada mereka mendapat bantuan menerusi Program Pengurusan Kredit.

Katanya, daripada jumlah itu, 15 peratus berumur di bawah 30 tahun manakala 39 peratus di antara 31 hingga 40 tahun dan 46 peratus berumur 41 tahun ke atas.

“Berdasarkan kaji selidik kami, sebanyak 49.7 peratus mempunyai perancangan kewangan yang lemah diikuti kegagalan dalam perniagaan (15.2 peratus), kos sara hidup tinggi (11.7 peratus), perbelanjaan perubatan yang tinggi (11 peratus) dan kehilangan pekerjaan (9.5 peratus),” katanya berucap dalam majlis makan tengah hari ‘AKPK - Mengumpul Minda Intelek’ di sini hari ini.

Yang turut hadir Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Abu Hassan Alshari Yahaya dan Pengarah Bahagian Pengurusan Pembangunan Akademik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr. Aishah Abu Bakar.

Majlis itu dihadiri 200 ahli pengurusan kanan dari lebih 100 institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

Menurut Azaddin, statistik kebankrapan Jabatan Insolvensi Malaysia menunjukkan 97,215 orang diisytiharkan bankrap sejak 2012 sehingga September 2016 dengan 25,581 terdiri daripada generasi Y berumur 25 hingga 34 tahun.

Bagaimanapun katanya, paling mengejutkan apabila statistik itu turut menunjukkan seramai 1,157 kes adalah di bawah umur 25 tahun.

“Sewa beli kenderaan merupakan punca utama kebankrapan apabila gagal melunaskan pinjaman iaitu sebanyak 26,801 kes diikuti pinjaman peribadi (22,153 kes) dan pinjaman perumahan (18,819 kes).

“Malah, mereka yang diisytiharkan muflis ini mengakui bahawa punca utama kegagalan mengawal kewangan adalah disebabkan kurangnya pendidikan dan perancangan kewangan yang baik,” katanya.

Beliau memberitahu, setakat ini, seramai 1.97 juta rakyat Malaysia telah menikmati kemudahan APPK berbentuk program-program pengurusan kewangan melalui forum, seminar, pameran bergerak dan bengkel.

“Selain itu, sebanyak 18 Politeknik dan 12 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) telah menerapkan modul pendidikan AKPK sebagai sebahagian daripada subjek keusahawanan atau kurikulum,” katanya.