121,673 guna khidmat AKPK tahun lalu

Categories

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Seramai 121,673 orang telah mendapatkan khidmat pengurusan kewangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sepanjang 2016, iaitu meningkat 10 peratus daripada 84,664 orang pada tahun sebelumnya.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz berkata, sepanjang 10 tahun penubuhannya, agensi itu berjaya menyelesaikan 12,000 kes melibatkan pengurusan kewangan nilai keseluruhan berjumlah RM490 juta.

Katanya, daripada 516,000 peserta AKPK sehingga Disember lalu, 15 peratus berumur di bawah 30 tahun, manakala 39 peratus di antara 31 hingga 40 tahun dan 46 peratus berumur 41 tahun ke atas.

“Berdasarkan kaji selidik AKPK, sebanyak 49.3 peratus mempunyai perancangan kewangan yang lemah diikuti kegagalan dalam perniagaan (15.2 peratus), kos sara hidup tinggi (12.3 peratus), perbelanjaan perubatan yang tinggi (10.9 peratus) dan kehilangan pekerjaan (9.5 peratus).

“Bagaimanapun, keseluruhan peserta bukan terdiri daripada mereka yang muflis tetapi mereka yang datang kepada AKPK mempunyai masalah pembayaran balik hutang mereka,” katanya selepas lawatan kerja ke AKPK di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir.

Menurut Othman, bantuan kewangan dan kesedaran yang disediakan agensi itu telah membantu mengurangkan kes muflis dalam negara.

“Mereka yang diisytiharkan muflis ini mengakui bahawa punca utama kegagalan mengawal kewangan adalah disebabkan kurangnya pendidikan dan perancangan kewangan yang baik,” katanya.

AKPK yang ditubuhkan pada April 2006, merupakan anak syarikat milik penuh Bank Negara Malaysia dan menyasar untuk menyediakan platform bagi individu dan bakal peminjam mendapatkan nasihat serta bantuan dalam mengurus kewangan dan hutang mereka.

Malah agensi itu menyediakan perkhidmatan lain seperti program pengurusan kredit, kaunseling dan pendidikan kewangan secara percuma dan pada masa ini terdapat 11 cawangan AKPK di seluruh negara. - UTUSAN ONLINE