AKPK bantu kurangkan kadar muflis

Categories

KUALA LUMPUR 5 Jan. – Penganjuran secara konsisten program pendidikan kewangan, perkhid­matan kaunseling dan pengurusan kredit oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) berjaya mengurangkan kadar muflis peminjam individu di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz berkata, sehingga November 2016 AKPK berjaya menyelesaikan 11,935 kes melibatkan pengurusan kewa­ngan dengan jumlah keseluruhan hutang RM488 juta.

“Sejak penubuhannya pada 2006 sehingga Disember tahun lalu, sebanyak 512,000 pelanggan mendapat perkhidmatan kaunseling AKPK. Jika tidak mendapat kaunseling AKPK, mungkin 11,935 orang yang berjaya menyelesaikan kes mereka itu akan muflis.

“Kita menasihatkan orang ramai supaya segera mendapatkan khidmat kaunseling AKPK yang diberikan secara percuma jika berasakan diri terperangkap dalam pengurusan kewa­ngan bagi mengelakkan mereka di­isyti­har muflis,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas me­ngadakan lawatan kerja ke agensi itu di sini hari ini.

Menurut Othman, meskipun penurunan kadar muflis itu bukan 100 peratus atas usaha AKPK, peningkatan terhadap penyelesaian masalah hutang mempunyai hubung kait yang rapat dengan fungsi agensi itu.

Tambahnya, bagi merealisasikan hasrat memastikan rakyat Malaysia dapat menguruskan hutang dengan lebih baik, program pendidikan dan kesedaran kewangan akan giat dijalankan dari semasa ke semasa.

“AKPK akan membantu pe­minjam menstruktur semula pin­jaman perumahan, pinjaman kenderaan, pinjaman peribadi atau baki tertunggak kad kredit yang diperoleh daripada penyedia kewangan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia.

“Program Pengurusan Program Kredit AKPK juga membantu peminjam memulakan bajet yang menjadi panduan dalam menunaikan pembayaran hutang dan perbelanjaan hidup, sekali gus mengurangkan pinjaman tidak berbayar dan perampasan rumah,” katanya.