AKPK Ambil Langkah Lebih Proaktif Terap Pendidikan Kewangan Kepada Mahasiswa

Categories

Categories: 

SHAH ALAM, 13 Mac (Bernama) -- Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) akan mengambil langkah lebih proaktif dalam menerapkan pendidikan kewangan kepada mahasiswa bagi mengelakkan golongan itu dibebani masalah hutang apabila memasuki alam pekerjaan kelak.

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK Azaddin Ngah Tasir berkata ini kerana, mengikut laporan Jabatan Insolvensi Malaysia, dalam tempoh 2012 sehingga September 2016 terdapat sebanyak 1,157 individu di bawah umur 25 tahun telah diisytiharkan bankrap.

'...dan kaji selidik Asian Institute of Finance (AIF) baru-baru ini mengenai sikap generasi muda dalam menguruskan kewangan mendedahkan sikap dan kurangnya pengetahuan menguruskan kewangan dalam kalangan generasi muda mendorong perkara itu berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara AKPK dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi penawaran kursus Ko-Kurikulum Asas Pengurusan Kewangan kepada penuntut universiti itu di sini, Isnin.

AKPK diwakili oleh Azaddin manakala UiTM diwakili Naib Canselornya Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

Mengulas lanjut, Azaddin berkata pendidikan kewangan adalah amat penting dan perlu diterapkan kepada setiap generasi muda bermula dari peringkat awal pengajian supaya golongan itu mampu menguruskan kewangan dan menangani bebanan hutang dengan bijak.

"Sebab itu AKPK rancang mahu memperluaskan kerjasama seperti melaksanakan MoU di peringkat IPT seperti yang kita meterai bersama UiTM pada hari ini. Menerusi MoU ini, AKPK akan mengadakan pelbagai aktiviti termasuk projek penyelidikan dan taklimat berkaitan kewangan"'.

Sementara itu, Hassan berkata jalinan kerjasama antara AKPK dan UiTM itu bertujuan mendidik dan memberi kesedaran mengenai pentingnya ilmu pengurusan kewangan kepada mahasiswa.

Beliau berkata menerusi kursus itu yang diperkenalkan sejak September lepas, AKPK akan mendidik mahasiswa mengenai cara menguruskan kewangan terutamanya selepas mereka tamat pengajian dan bekerja supaya tidak dibebani hutang sehingga diisytiharkan muflis pada usia muda.

"Ini kerana apabila mereka mengalami hutang yang besar ia secara tidak langsung akan menjejaskan kualiti hidup yang akan turut mempengaruhi rumah tangga mereka apabila mereka berkahwin nanti," katanya.

-- BERNAMA