PLKN perkenal Program Pengurusan Wang Ringgit Anda

Categories

Disiarkan di Utusan Malaysia Online bertarikh 14 Januari 2012

 

MELAKA 14 Januari – Program Pengurusan Wang Ringgit Anda (POWER!) kini diperkenalkan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bertujuan memberi pelatih pengetahuan asas kewangan agar cekap mengurus perbelanjaan pada masa depan.

 

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr Ismail Ahmad berkata, program pertama kali diperkenalkan bermula tahun ini merupakan salah satu pembaharuan dan penambahbaikan yang dilaksanakan kerajaan dalam PLKN.

 

"Program ini secara tidak langsung dapat mewujudkan rasa tanggungjawab dan akauntabiliti terhadap sokongan kewangan yang diperoleh daripada ibu bapa,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja siri latihan PLKN 9/2012 di Kem PLKN Hutan Rekreasi Ayer Keroh di sini, hari ini.

 

Beliau berkata, program itu merupakan kesinambungan daripada Program Pengurusan Kewangan Peribadi kendalian AKPK yang diperkenalkan kepada pelatih PLKN pada 2007.

 

Sementara itu, Ismail berkata seramai 33,259 pelatih terlibat dalam siri latihan kali ini di 81 buah kem PLKN di seluruh negara iaitu jumlah kumpulan terbesar sejak ia diperkenalkan pada 2004.

 

Beliau berkata seramai 622,000 pelatih telah berjaya menamatkan sesi latihan sejak program itu diperkenalkan. – BERNAMA