321,530 sertai kaunseling pengurusan hutang

Categories

Artikel dari Sinar Harian9 April 2015

 

KUALA LUMPUR - Sejumlah 321,530 pengguna menyertai kaunseling pengurusan hutang manakala 125,330 orang memohon mendapatkan nasihat mengenai pengurusan kredit menerusi program pengurusan kredit (DMP) kelolaan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Hutang (AKPK), sehingga akhir Februari lepas.

Angka itu meningkat berbanding 309,663 yang terlibat dalam kaunseling pengurusan hutang dan 121,495 memohon mendapatkan nasihat berkenaan kredit pada 2014.

Daripada jumlah permohonan untuk program DMP, 42.7 peratus terdiri daripada pekerja sektor swasta berbanding 8.6 peratus pekerja sektor awam, kata Ketua Pengarah Eksekutif AKPK Azaddin Ngah Tasir.

Dari segi demografi, peserta yang terlibat dalam program tersebut didominasi lelaki, dengan jumlah kemasukan mencecah 75,340 peserta manakala penglibatan wanita sebanyak 37,641 orang.

Sehingga Februari, sebanyak 7,103 kes dengan nilai tertunggak RM290.8 juta dalam program DMP berjaya diselesaikan, manakala 74,163 akaun aktif bernilai RM6.45 bilion dipantau dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, peningkatan jumlah penglibatan dalam program DMP berpunca daripada pengurusan kewangan yang lemah (22.6 peratus) diikuti kegagalan dalam perniagaan (16.5 peratus) dan isu perbelanjaan perubatan yang tinggi (15.2 peratus).

"Statistik menunjukkan berlaku peningkatan dari semasa ke semasa, dan masyarakat mesti berusaha memantapkan kemahiran dalam menguruskan aliran kewangan," katanya selepas menandatangani memorandum persefahaman bersama Malaysia Building Society Bhd (MBSB) hari ini.

Menerusi memorandum tersebut, AKPK akan menawarkan perkhidmatannya kepada pelanggan MBSB dalam bentuk pendidikan kewangan, kaunseling kewangan serta pengurusan kewangan bagi membantu mereka mengurus kewangan masing-masing.

Setakat ini AKPK merekodkan penyertaan lebih 600,000 pengguna dalam program kaunseling anjurannya. - Bernama