Peminjam PTPTN didedah pengurusan kewangan

Categories

Modul Pengurusan Kewangan Peribadi AKPK akan diwajibkan kepada peminjam baru Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mulai tahun ini.

 

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia akan dilaksanakan sekiranya pihak universiti sudah menyediakan tenaga pengajar untuk kursus itu.

 

"Setakat ini, semua universiti awam sudah menyertai program ini (modul Pengurusan Kewangan Peribadi) dengan kerjasama daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

 

"Selain itu, adalah perlu bagi pihak AKPK melatih tenaga pengajar di kalangan pensyarah universiti untuk melaksanakan kursus ini," katanya semasa perasmian Perakuan Kredit ke atas Modul Pengurusan Kewangan Peribadi AKPK oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di Putrajaya, semalam.

 

Mohamed Khaled berkata, kementerian bersetuju memperkenalkan program tersebut sebagai kursus elektif selepas diperakukan oleh MQA, dengan jumlah kredit sebanyak satu jam.

 

"Berpandukan maklum balas yang amat menggalakkan daripada pihak universiti, AKPK berusaha memperluas pelaksanaan modul Pengurusan Kewangan Peribadi ini. Dan kini, usaha itu diperkukuhkan lagi dengan perolehan perakuan satu jam kredit untuk modul tersebut dari MQA.

 

Sementara itu, Mohamed Akwal berkata, sehingga kini, 32 institusi pengajian tinggi awam dan swasta telah menerapkan modul tersebut sebelum mendapat perakuan kredit daripada MQA.

 

Menurutnya, pelaksanaan modul itu adalah melalui program Training-of-Trainers yang bertujuan membimbing tenaga pengajar di pengajian tinggi untuk mengajar modul tersebut kepada pelajarnya.

 

Tambahnya, sebanyak 13 institusi pengajian tinggi telah bersetuju menerapkan modul yang sama, antaranya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Lim Kok Wing, Kolej Universiti Segi dan Universiti Selangor.

 

"AKPK sentiasa memberi perhatian dan memantau mengenai pengetahuan kewangan terutamanya kepada generasi muda. Langkah ini diambil untuk memupuk amalan berhemat yang akan membantu membanteras tabiat berhutang," katanya.