Elak Sesak - Bijak buat keputusan kurangkan liabiliti

Categories

Artikel Bajet Bijak siaran Berita Harian bertarikh 3 Disember 2011. Oleh Alzahrin Alias

 

ANDA hanya perlu sedikit dorongan serta disiplin untuk mengurus hutang dengan bijaksana. Jika tidak diuruskan dengan baik, nescaya akan terbabit dalam kancah hutang yang tidak mampu diselesaikan.

 

Minggu ini kita akan melihat cara mengurus hutang secara efektif dan kebaikannya jika dapat dilakukan bersama.

 

1. Pengurusan aliran tunai yang lebih baik

 

Jika anda berjaya mengawal hutang pada tahap yang terkawal, anda akan mempunyai lebihan wang untuk tabungan dan seterusnya mempunyai kedudukan aliran tunai yang positif. 

 

Memiliki aliran tunai yang positif adalah perlu kerana anda mempunyai dana berlebihan untuk membantu membina tabung kecemasan, mengurangkan hutang dan boleh memanfaatkan peluang pelaburan yang baik. 

 

Aliran tunai positif boleh dicapai sekiranya anda mempunyai bajet dan memantaunya dengan baik.

 

2. Pengurusan kekayaan yang lebih baik

 

Sebahagian besar proses membina kekayaan memerlukan anda membuat keputusan bijak mengenai hutang. Melalui pengurusan hutang yang bijak, anda mengurangkan liabiliti sambil meningkatkan kedudukan nilai harta bersih. 

 

Semua ini secara efektif akan membawa kepada pengurusan kekayaan yang lebih baik.

 

3. Mengelak bayaran lewat dan caj penalti

 

Jadilah seorang pembayar hutang yang berhemah. Lebih cekap anda mengurus hutang, maka lebih banyak penjimatan faedah dan caj lain yang anda peroleh. 

 

Ambillah langkah pertama dengan membayar hutang anda mengikut jadual.

 

4. Mengurangkan kos pinjaman

 

Anda boleh melangsaikan hutang dengan cepat jika mengurus hutang secara bijak dan sentiasa memantaunya. Lebih cepat anda melangsaikan hutang lebih banyak penjimatan kos faedah anda peroleh.

 

5. Meningkatkan kedudukan kredit

 

Pengurusan hutang yang bijak akan membantu anda membina rekod kredit yang lebih baik bagi memudahkan anda mengambil pinjaman pada masa hadapan. 

 

Ini kerana rekod pembayaran anda akan dijejak melalui Biro Kredit Bank Negara Malaysia (BNM). Setiap kali anda meminjam daripada Institusi Kewangan Berlesen, semua hutang dan rekod pembayaran anda akan dicatatkan. 

 

Sehubungan itu, jika anda pernah terlewat atau gagal menjelaskan pinjaman, ini boleh menjejas keupayaan anda untuk memperoleh pinjaman pada masa hadapan.

 

6. Mengelak gangguan atau tindakan undang-undang

 

Untuk mengelak tindakan undang-undang, pastikan anda membayar ansuran bulanan tepat pada masanya. Anda perlu sedar bahawa jika anda tertinggal atau tidak membayar ansuran mengikut jadual, kedudukan kredit anda akan terjejas dan si pemiutang akan mencari atau menghubungi anda.

 

7. Hubungan keluarga yang lebih baik

 

Semakin cekap anda menguruskan hutang, semakin baik hubungan anda dengan ahli keluarga. Sering kali pertelingkahan atau salah faham yang berlaku antara ahli keluarga adalah berpunca daripada masalah kewangan. 

 

Pengurusan hutang yang baik akan mengeratkan hubungan anda dengan keluarga serta kawan dan rakan sekerja. Ini pasti memupuk suasana yang lebih harmonis di rumah sambil meningkatkan produktiviti di tempat kerja.

 

INFO: Anda menghadapi masalah kewangan dan ingin mendapatkan nasihat Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui Bajet bijak? Sila hantar kemusykilan anda melalui e-mel ke alamat bminggu@bharian.com.my untuk diteliti dan dianalisis kaunselor AKPK. Ulasan AKPK serta soalan anda akan disiarkan di kolum bijak Bijak.