Bulan Berhemah

Categories

Article from Harian Metro dated 22 July 2012 by Rosmaliana Aida Mohd Adnan

 

RAMADAN yang sepatutnya menjadi bulan untuk berjimat cermat bertukar sebaliknya dengan aliran tunai semakin deras. Apa saja yang dilihat mahu dibeli tanpa membuat sebarang pertimbangan sewajarnya.

Malah, nafsu berbelanja melonjak tinggi ketika ini hinggakan bajet bulanan seolah-olah tidak lagi efektifdan sukar diteruskan.

 

Itulah antara keluhan yang kerap kedengaran di kalangan sesetengah individu setiap kali Ramadan. Bulan yang sepatutnya dijalani dengan penuh keberkatan seolah-oleh menjadi penjara menghukum mereka yang kurang mengambil berat mengenai pengurusan kewangan masing-masing.

 

Pengarah Besar Bahagian Perkhidmatan Korporat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Nor Fazleen Zakaria, berkata penting untuk mendisiplinkan diri dalam melakukan pengurusan kewangan bagi memastikan setiap perancangan boleh dilaksanakan sebaiknya.

 

Menurutnya, kaedah ini bertujuan mengelakkan diri daripada menanggung bebanan hutang yang banyak selepas berbelanja tanpa kawalan ketika Ramadan.

 

"Bukan bermakna kita tidak perlu berbelanja tetapi ia perlu dilakukan secara bersederhana dan berhemah, bukannya terlalu mengikut perasaan.

"Kenal pasti terlebih dulu jenis barangan yang dibeli itu satu keperluan atau hanya kehendak semata-mata, kemudian melakukan bajet yang menepati sasaran," katanya.

 

Nor Fazleen berkata, penting bagi setiap individu untuk merancang kewangan mereka bagi mengelak perbelanjaan tidak diperlukan ketika Ramadan.

 

Ramadan sepatutnya bulan mengawal hawa nafsu dan ia boleh datang dalam pelbagai bentuk misalnya boros berbelanja. Faktor ini antara penyebab utama seseorang individu itu terjebak dengan bebanan hutang yang melampau.

 

"Setiap perbelanjaan perlu dilakukan mengikut kemampuan diri dan bukan sekadar menunjuk-nunjuk.

"Perancangan kewangan sebegini perlu dimulakan sejak awal dan bukan secara tergesa-gesa. Ini kerana ia boleh memberikan kesan daripada segi emosi tanpa disedari kerana ketika ini masingmasing kalut menyediakan keperluan," katanya.

 

Selain itu, katanya antara cara terbaik yang boleh dilakukan untuk berbelanja secara berhemah sepanjang Ramadan ialah:

 

 

Senaraikan barangan yang perlu dibeli terlebih awal

Sekiranya ingin berbelanja, senaraikan barangan keperluan mengikut keperluan terpenting terlebih dulu antaranya lauk, sayur-sayuran, beras serta minyak.

Sebaik-baiknya proses beli-belah barangan keperluan dilakukan sekali gus kerana jika dilakukan secara berulang, ia akan menyebabkan pembaziran terutama jika memilih sesuatu yang sama berulang kali atau bagi mengelakkan pembelian secara berlebihan.

 

 

Bawa wang secukupnya

Hadkan wang tunai yang dibawa terutama apabila berkunjung ke bazar Ramadan.

Senaraikan terlebih dulu barangan keperluan dan buat anggaran pembelian. Beli barangan yang perlu danabaikan barangan tidak perlu.

Seelok-eloknya, hindari penggunaan kad kredit ketika berbelanja di pasar raya. Sebaik-baiknya gunakan tunai bagi mengelakkan bebanan hutang bertambah untuk bulan berikutnya.

Penggunaan kad kredit adakalanya menyebabkan kita leka kerana tidak melihat nilai wang yang dikeluarkan berbanding duit tunai.

Sekiranya masih memilih untuk menggunakan kad, bertukarlah kepada kad debit bagi mengurangkan pengeluaran tunai secara tidak terkawal ketika berbelanja.

 

 

Elakkan daripada membawa anak-anak bersama sekiranya keluar berbelanja

Jika boleh jangan membawa anak-anak bersama ketika berbelanja kerana mereka boleh menyebabkan fokus perbelanjaan tersasar.

 

Kadangkala rayuan mereka untuk mendapatkan sesuatu barangan menyebabkan ibu bapa lembut hati danakhirnya berbelanja barangan yang tidak diperlukan.

 

 

Teliti setiap barangan yang ingin dibeli

Setiap barangan yang ingin dibeli perlu diteliti terlebih dulu terutama tarikh luput barangan terbabit perlu sentiasa diawasi bagi mengelakkan sebarang penipuan.

Malah, jangan terburu-buru dalam setiap pembelian hanya disebabkan ia murah sebaliknya, lakukan secara tenang dan rasional.

Jangan sekali-kali terpedaya dengan segala promosi, potongan harga serta jualan murah. Tanya pada diri, adakah barangan itu satu keperluan ataupun sekadar kehendak semata-mata?

Antara tip untuk mengurangkan kos perbelanjaan harian ketika Ramadan:

 

 

Berbuka di rumah

Tidak dinafikan apabila Ramadan tiba, pelbagai pakej berbuka ditawarkan terutama di hotel namun adakalanya ia terlalu mahal.

Ia kelihatan lebih membazir jika seseorang itu bukan jenis orang yang gemar makan secara bufet.

Bagi mengelakkan hal ini, apa kata disiplinkan diri, bersahur dan berbuka di rumah saja. Ia pasti lebih menjimatkan.

 

 

Merancang awal menu berbuka puasa

Ketika mendapatkan juadah berbuka tidak salah sekiranya ingin menjamah makanan tertentu namun usah keterlaluan.

Jangan membeli terlalu banyak juadah tetapi akhirnya terbuang begitu saja sebaliknya, beli makanan dalam kuantiti sedikit agar tidak membazir.

Tetapkan hidangan yang ingin dinikmati pada hari berkenaan antaranya nasi, lauk atau kuih-muih danjangan membuat penambahan tidak diperlukan ketika berada di bazar Ramadan.

 

 

Bila berbelanja buat perbandingan harga barangan yang akan atau mungkin meningkat.

Lakukan tinjauan harga terlebih dulu sebelum membeli kerana banyak pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga jualan apabila tiba Ramadan.

Sebagai pengguna bijak, setiap individu perlu mengambil langkah bijak dengan melakukan tinjauan harga. Berbelanja di tempat yang menawarkan harga berpatutan agar tidak berasa tertipu malah boleh berjimat.

Bagi setiap perbandingan harga yang dilakukan, sekurang-kurangnya ia perlu merangkumi beberapa kedai berbeza bagi mendapatkan harga yang lebih berpatutan bagi satu produk yang sama.