Buat pilihan bijak

Categories

Article from Berita Harian dated 14 July 2012 

 

>>Kegagalan bayar balik pinjaman pelajaran rosak imej, moral dan peluang maju dalam kerjaya 

 

Menjalani kehidupan seharian memerlukan anda membuat pilihan bijak sama ada dalam memilih kerjaya, membeli kereta atau rumah. 

 

Membuat pilihan bijak memerlukan perancangan awal, meyelidiki apa yang terdapat di pasaran dan mengelak daripada membuat keputusan secara tergesa-gesa. 

 

Anda mungkin sudah memperoleh beberapa pandangan dan saranan bagaimana merancang dan menguruskan kewangan daripada topik lepas. Apa yang perlu hanyalah untuk mengamalkannya dalam kehidupan anda. 

 

Kerjaya 

Seperti kebanyakan orang, anda memerlukan pekerjaan selepas tamat pengajian. Pekerjaan ini adalah pengalaman pertama yang akan seterusnya membentuk kerjaya anda. 

 

Tidak kira apa yang anda pilih untuk lakukan, pupuk minat dalam kerjaya yang diceburi dan pastikan anda menyayangi dan menyenangi pekerjaan tersebut. Adalah lebih baik kalau anda mempunyai bakat dan kebolehan dalam bidang yang diceburi. Sebagai contoh, kalau anda tidak menyukai matematik, jangan paksa diri anda menceburi kerjaya perakaunan. 

 

Sebaliknya, jika anda suka berurusan dengan orang ramai, kerjaya dalam bidang jualan dan pemasaran mungkin bersesuaian bagi anda. 

 

Merancang kerjaya 

Peranan kerjaya amat besar dalam kehidupan anda. Jadi, anda perlu melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Kemajuan kerjaya anda menentukan kualiti kehidupan akan datang. 

 

Oleh itu, rancanglah kerjaya anda dengan betul. Setiap kali anda bertukar pekerjaan, pastikan ia langkah positif terhadap peningkatan kerjaya serta meluaskan prospek anda dan bukannya hanya setakat meningkatkan kapasiti pendapatan. 

 

Walau apa pun pekerjaan pertama anda, gunakan pengalaman tersebut sebagai pengajaran asas untuk menjalani kehidupan di mana-mana tempat bekerja. 

 

Tingkatkan kemahiran komunikasi anda, baik dalam bentuk tulisan mahupun percakapan – mereka yang boleh menulis dan bercakap dengan baik berkemungkinan berdaya maju dalam sesebuah syarikat. 

 

Amalkan kemahiran berinteraksi dengan semua pekerja di pelbagai peringkat. Dapatkan tugasan yang boleh meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran anda. 

 

Ambil bahagian secara sukarela dalam aktiviti untuk menonjolkan bakat anda. Baca seberapa banyak buku yang berkaitan dengan pengurusan dan perkembangan diri. 

 

Anda boleh membina kerjaya anda dalam syarikat yang sama sepanjang hayat pekerjaan anda ataupun anda boleh bertukar pekerjaan dari satu syarikat ke syarikat yang lain. 

 

Sekiranya anda ingin menukar pekerjaan, nilai bagaimana pekerjaan baru boleh menambah, bukan hanya pendapatan anda, malah juga pengetahuan, kemahiran dan perkembangan kerjaya anda. 

 

Bolehkah ia membantu anda ke arah kerjaya yang ingin dicapai? Atau adakah ia membawa anda lebih hampir untuk mencapai matlamat kewangan anda? 

 

Walau apa pun alasan yang anda pilih untuk bertukar pekerjaan, pastikan ia memberi manfaat kepada anda bagi jangka masa yang panjang. 

 

Pekerjaan anda tertakluk kepada usaha. Ia tidak akan membosankan sekiranya anda menggunakannya untuk memperkembangkan diri di samping menyumbang kepada syarikat. 

 

Pinjaman pelajaran 

Pinjaman pelajaran adalah tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringan. Apabila mula bekerja, mulalah membayar pinjaman pelajaran anda. 

 

Kita sudah membincangkan pentingnya bagi anda berbuat demikian. Pinjaman pelajaran adalah suatu pinjaman, bukannya pemberian hadiah. Ia adalah kewajipan dari segi perundangan dan moral bagi anda membayarnya supaya orang lain juga dapat menikmati faedah yang sama yang telah anda nikmati. 

 

Jika anda tidak membayar balik pinjaman pelajaran, ini boleh menjejas peluang anda untuk bekerja dengan majikan yang baik. Anda juga mungkin tidak berpeluang mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan kelak, ini berkemungkinan melambatkan usaha untuk mencapai matlamat kehidupan dan kewangan anda. 

 

Cukai Pendapatan 

Sebagai seorang dewasa yang bekerja, anda perlu membayar cukai pendapatan. Sekarang, pembayaran boleh dibuat melalui Bayar Semasa Terima (BST atau ‘Pay-As-You-Earn’ PAYE) di bawah skim Potongan Cukai Berjadual. 

 

Pendapatan bulanan anda akan dipotong dan dihantar terus kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) oleh majikan anda. 

 

Bagaimanapun, ini tidak bermakna anda tidak perlu membayar cukai lagi pada akhir tahun apabila LHDN menilai jumlah pendapatan anda. 

 

Menjadi tanggungjawab anda untuk mengisytiharkan semua sumber pendapatan kepada LHDN dan membayar cukai yang berpatutan. 

 

Anda dinasihatkan supaya membuat peruntukan untuk pembayaran cukai daripada pendapatan bulanan anda untuk menjelaskan jumlah sebenarnya yang perlu dibayar pada akhir tahun sekiranya jumlah tersebut melebihi jumlah yang ditolak daripada pendapatan bulanan. 

 

Kurang pengisytiharan pendapatan bagi tujuan mengelak cukai adalah suatu kesalahan!