Petua guna kad kredit

Categories

Article from Berita Harian dated 7 July 2012 

 

Pastikan membuat bayaran sepenuhnya untuk mengelak daripada dikenakan faedah dan jangan gunakan kad kredit sekiranya anda tidak boleh membuat bayaran bulanan. 

 

Hadkan bilangan kad kredit anda. Juga, jangan sekali-kali menggunakan kad kredit untuk mendapatkan pendahuluan wang tunai dari mesin ATM. Setiap kali anda mengeluarkan wang menggunakan kad kredit, anda menambahkan lagi beban pinjaman, ditambah lagi dengan fi pendahuluan wang tunai dan faedah harian yang dikenakan. 

 

Bayar sebelum tarikh akhir penyata untuk mengelak daripada membayar faedah dan caj bayaran lewat dan seharusnya anda mengetahui akibat hanya membayar jumlah minimum sepanjang masa. 

 

Jika anda menghadapi masalah aliran tunai, pastikan anda membayar jumlah minimum dahulu diikuti dengan pembayaran penuh secepat mungkin. 

 

Sentiasa menyemak penyata bulanan kad kredit anda untuk memastikan urus niaga dan caj yang dikenakan adalah munasabah. Penyata kad anda akan merekodkan segala urus niaga, yuran dan caj, tarikh bil matang dan bayaran minimum yang perlu dibuat. 

 

Hubungi bank anda sekiranya terdapat sebarang kesilapan, atau jika anda tidak menerima penyata bulanan. 

 

 

Pembayaran balik dan ingkar 

Pembayar balik pinjaman yang baik adalah orang yang membuat bayaran pinjaman tepat pada waktunya dengan jumlah yang dipersetujui mengikut terma dan syarat, seperti ditetapkan dalam perjanjian pinjaman. 

 

 

Biro Kredit 

Biro Kredit Bank Negara Malaysia telah beroperasi semenjak tahun 1982. Berperanan untuk mengumpul maklumat kredit berkenaan peminjam individu, perniagaan (perkongsian dan perseorangan), syarikat dan entiti kerajaan, seterusnya menyalurkan kembali maklumat terkumpul ini kepada institusi kewangan. 

 

Biro Kredit akan menyimpan maklumat kredit dalam sebuah sistem pangkalan data berkomputer yang dikenali sebagai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (Central Credit Reference Information System - CCRIS). 

 

CCRIS akan mengumpul dan memproses maklumat tersebut menjadi laporan kredit yang boleh diguna pakai oleh mana-mana institusi untuk menilai pinjaman anda. 

 

Setiap kali anda membuat permohonan bagi pinjaman baru, institusi kewangan berkenaan akan menyemak sejarah bayaran yang pernah anda buat melalui Biro Kredit. Mereka akan menggunakan maklumat tersebut untuk memutuskan sama ada untuk memberikan anda pinjaman ataupun tidak. 

 

Selain daripada Biro Kredit, terdapat juga syarikat milik persendirian yang 

memberikan maklumat kepada pelanggan mereka dan institusi kewangan berkaitan rekod bayaran balik pinjaman dan juga status sebarang tindakan undang-undang terhadap peminjam, sekiranya ada. 

 

Sila simpan satu salinan laporan CCRIS untuk membolehkan anda memantau pinjaman serta mengawal pola pembayaran kad kredit anda. Anda boleh menyemak sama ada anda mempunyai jadual pembayaran balik yang terurus ataupun tidak. 

 

Sekiranya laporan CCRIS menunjukkan yang anda gagal atau selalu lewat membuat bayaran, institusi kewangan mempunyai pilihan untuk menolak permohonan pinjaman anda kerana laporan tadi memberikan gambaran bahawa anda tidak menguruskan pinjaman dengan baik atau anda sebenarnya menghadapi kemelut kewangan. 

 

Sekiranya anda pembayar balik pinjaman yang baik, laporan kredit juga akan menunjukkan sedemikian. Mulai 1 Julai 2008, anda menerima ganjaran sekiranya anda menjelaskan bayaran kad kredit dengan segera, di mana institusi kewangan akan mengenakan caj kewangan mengikut asas bertingkat, bergantung kepada pembayaran balik yang dibuat. 

 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari http://creditbureau.bnm.gov.my 

 

 

Masalah pembayaran balik hutang 

Ingkar dalam bayaran pinjaman dan gagal menjelaskan hutang kad kredit membawa kesan yang sangat buruk. Anda mungkin didakwa oleh institusi kewangan. 

 

Kereta atau harta anda akan dilelong. Ahli keluarga anda akan terpaksa membantu anda menjelaskan hutang tersebut. Penjamin anda, jika ada, terpaksa menanggung sama kerana tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka. 

 

Anda mungkin diisytiharkan muflis, seperti dalam topik yang akan kita bincangkan dalam bab hadapan. Anda mungkin mengalami tekanan emosi apabila mendapat panggilan secara berterusan daripada peguam dan pemiutang yang ingin mendapatkan pinjaman mereka semula. 

 

Dalam keadaan sebegini, anda kurang produktif dan kerja serta kesihatan anda terjejas. Tanda-tanda yang menunjukkan anda menghadapi masalah kewangan: 

• Jika anda tidak dapat mengawal perbelanjaan – iaitu perbelanjaan melebihi pendapatan. 

• Jika hutang lebih daripada apa yang boleh anda uruskan 

• Anda hanya mampu membayar 5% setiap bulan bagi bil kad kredit. 

• Anda tiada tabungan untuk menghadapi kecemasan peribadi atau keluarga. 

• Anda mendapat panggilan yang kerap daripada peminta hutang.