Perangkap hutang sambung bayar

Categories

Article from Harian Metro dated 22 August 2012

 

>> Sewa beli kereta antara penyebab ramai berdepan masalah kewangan

 

 

SALLEH, 33, seorang operator pengeluaran tidak mempunyai masalah membeli sebuah kereta berharga RM60,000 dengan gaji serta kerja lebih masanya di sebuah kilang.

 

Bagaimanapun, isu bermula apabila kilangnya berdepan masalah kewangan dan terpaksa mengecilkan operasi. Akibatnya, Salleh hilang pekerjaan dan terpaksa menggunakan simpanannya untuk menyara keluarga dan membayar ansuran bulanan kereta. 

 

Simpanannya semakin berkurangan dan dia tidak mampu untuk membayar kereta, tetapi seorang rakan, Ahmad muncul menawarkan membeli kereta itu. Baki pinjaman bank masih ada RM40,000 dan Ahmad berjanji akan menyambung bayar wang itu tanpa menukarkan nama pemilik asal. 

 

Salleh bersetuju ditambah pula Ahmad memberi wang tunai RM1,000 kepadanya. Setahun kemudian, Salleh mula menerima surat peringatan dari bank kerana kegagalannya membayar tunggakan pinjaman berbaki RM30,000. 

 

Ahmad pula gagal dihubungi dan tidak lama selepas itu, Salleh menerima notis bankrupsi daripada bank. 

 

Apa yang menimpa Salleh itu adalah sebuah kisah benar berdasarkan kes yang dirujuk kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) selepas dia datang mendapatkan bantuan untuk menguruskan hutang serta mengelak daripada diisytiharkan muflis. 

 

Sama ada sedar atau tidak, ramai di kalangan kita berdepan masalah sama dihadapi Salleh. Percayakan seseorang untuk menyambung bayar kenderaan tanpa menukarkan nama pemilikan yang akhirnya menyebabkan pemilik asal terperangkap dalam masalah hutang. 

 

Malah, menurut Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Koid Swee Lian berkata, amalan itu berlaku disebabkan terlalu percayakan seseorang. 

 

“Perkara sama juga boleh berlaku apabila individu itu mahu membeli kereta baru sedangkan hutang kereta lama masih belum langsai. Dia kemudian menyerahkan kereta lamanya sama ada kepada anggota keluarga atau rakan karib tanpa menukar nama pemilikan supaya menyambung pembayaran. 

 

“Tanpa disedari, tindakan itu berisiko kerana pinjaman berkenaan mungkin tidak akan dibayar menyebabkan pemilik asal berdepan masalah hutang yang besar,” katanya. 

 

Beliau berkata, apabila menjual kereta dalam tempoh masih terikat dengan perjanjian sewa beli, pastikan baki tertunggak dijelaskan sepenuhnya dengan bank sebelum memindahkan pemilikan. 

 

“Anda akan bertanggungjawab bagi apa-apa ansuran tidak dibayar selagi pinjaman sewa beli masih di bawah nama anda,” katanya. 

 

AKPK turut memberikan beberapa tip jika anda mahu membeli kereta baru iaitu: 

•  Pastikan anda berkemampuan membayar pinjaman dengan baik;

•  Sedar bahawa membeli kereta bukan sekadar membayar ansuran bulanan saja, sebaliknya ada kos lain perlu ditanggung; 

•  Pastikan membayar ansuran bulanan mengikut tempoh ditetapkan bagi mengelakkan penalti atau lebih teruk kereta ditarik; 

•  Lebih baik memilih pinjaman yang lebih kecil dengan tempoh pembayaran pendek dan jika menjual kereta lama, baki tertunggak dijelaskan sepenuhnya dengan bank sebelum pindah milik.

 

Menurut Koid, kebanyakan pembeli hanya memikirkan ansuran bulanan yang perlu dibayar tanpa mengambil kira kos lain seperti insurans, cukai jalan, petrol, baik pulih dan penyelenggaraan, tol serta parkir. 

 

“Apabila membeli kereta menjadi keperluan, anda perlu membuat keputusan sama ada membeli kereta baru atau terpakai. Ramai berpendapat kereta baru lebih baik kerana kos penyelenggaraan yang rendah, namun ia juga mempunyai kekurangan. 

 

“Ketika mahu membuat keputusan jenis kereta yang diperlukan, kemampuan perlu dinilai terlebih dulu. Jika ia didapati membebankan, beli kereta terpakai yang dalam keadaan baik, lagipun ia hanya sebuah kenderaan untuk membawa kita dari satu tempat ke tempat lain,” katanya. 

 

Isu hutang sewa beli kereta antara penyebab ramai di kalangan rakyat Malaysia berdepan masalah kewangan. 

 

Berdasarkan statistik AKPK, penyebab yang mencatat peratus tertinggi ialah: 

•  Kelemahan pengurusan kewangan iaitu 24 peratus 

•  Perbelanjaan perubatan yang mahal 23 peratus 

•  Kegagalan perniagaan 15 peratus 

•  Hilang kawalan dalam penggunaan kad kredit 13 peratus 

•  Lain-lain (12 peratus), hilang pekerjaan (10 peratus), kematian ketua keluarga (dua peratus) dan kegagalan pelaburan (satu peratus).

 

 

Sehingga 30 Jun lalu, katanya, seramai 190,521 individu mendapatkan khidmat kaunseling di AKPK dan daripada jumlah itu, 77,994 daripada mereka menyertai Program Pengurusan Hutang. 

 

Menurutnya, mereka yang datang mendapatkan bantuan terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan faktor menyebabkan mereka dibebankan dengan hutang disebabkan kelemahan pengurusan kewangan dan kurang disiplin kewangan. 

 

“Masalah kewangan juga boleh berlaku disebabkan faktor luar jangka seperti kesihatan, kematian ketua keluarga, kehilangan pekerjaan dan kegagalan perniagaan,” katanya. 

 

Beliau berkata, AKPK bermatlamat menyediakan perkhidmatan kaunseling percuma yang khusus membantu individu bagi mengawal aliran kewangan mereka dan mendapat kelegaan daripada penggunaan kredit secara bijak. 

 

“Dengan mempromosikan kesedaran dan mendidik orang ramai bagaimana mengawal hutang secara efektif, kaunseling serta penyediaan Program Pengurusan Hutang yang khusus menolong mereka yang dibebankan hutang, AKPK berharap dapat membantu isu berkaitan kewangan yang dihadapi rakyat Malaysia,” katanya.