Menabung lepas raya

Categories

Article from Harian Metro in August 2012 

 

Jika mahu meriah, biarlah semuanya baru. Itu antara ungkapan yang biasa didengar pada musim perayaan. Paling memeningkan apabila semua barangan dan pakaian baru juga memerlukan perbelanjaan besar apatah lagi jika memiliki bilangan ahli keluarga yang ramai. 

 

Statistik Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menunjukkan bahawa selepas musim perayaan tidak kira Syawal, Tahun Baru Cina atau Deepavali, terdapat peningkatan daripada orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat nasihat di agensi terbabit. 

 

Pengurus Besar Bahagian Operasi AKPK, Azman Hasim, masalah ini menjadi trend bermusim yang dapat dilihat selepas berakhirnya musim perayaan. 

 

Situasi berkenaan menunjukkan pelanggan mula berasa tertekan daripada segi kewangan selepas menyambut musim perayaan kerana terpaksa menanggung beban hutang atau bermasalah `poket kosong'. 

 

"Mengikut pengalaman di agensi ini, kebanyakan mereka yang tidak dapat membuat perancangan kewangan berisiko tinggi untuk menghadapi hutang. 

 

"Bagi mengelakkan ia berlaku, ambil tindakan bijak membuat simpanan khas menyambut raya dengan keseronokan tanpa gangguan fikiran untuk membayar hutang selepas itu. 

 

"Sikap suka berlumba-lumba tanpa mengambil kira kedudukan kewangan boleh memberi keburukan kepada diri. Sepatutnya, kita harus memikirkan perkara lain yang lebih penting seperti persaraan dan kesihatan yang memerlukan persediaan sewajarnya," katanya. 

 

Tambahnya, jika tidak diri, pasti ada orang lain yang rapat dengan kita akan mengalami masalah kerana tiada persediaan menghadapi sebarang musibah misalnya kos yang membabitkan kesihatan. 

 

Justeru, cukup sekadar hidup secara sederhana dan mengikut kemampuan ketika berbelanja menyambut musim perayaan. 

 

"Sepatutnya, kita harus membuat perancangan seawal mungkin bagi mengelakkan perbelanjaan melebihi bajet ketika ingin berbelanja pada musim perayaan agar tidak berlaku pembaziran. 

 

"Misalnya selepas raya berakhir, kita harus tanamkan semangat membuat tabungan untuk perbelanjaan pada musim perayaan tahun depan. Namun, bagi mereka yang sudah terlewat, berbelanjalah ikut kemampuan kewangan diri. 

 

"Jangan fikirkan apa orang lain kata mengenai diri. Lebih penting, bebaskan diri daripada dibelenggu hutang selepas musim perayaan tamat," nasihatnya kepada mereka yang gemar berbelanja sesuka hati. 

 

Perkara terbaik adalah elakkan sikap suka berbelanja pada saat akhir kerana ia akan membuatkan kita membeli barangan yang tidak sepatutnya dan berlebihan. 

 

Ini akan menyebabkan sesetengah orang menggunakan kad kredit disebabkan tunai tidak mencukupi kerana melebihi bajet yang dirancang. 

 

"Jika kita mahu menyambut musim perayaan penuh meriah, tidak salah membuat perancangan awal dengan membuka simpanan khas. Tetapi kini, seolah-olah jadi kelaziman berbelanja pada luar kebiasaan semata-mata mahu raya `lebih meriah'. 

 

"Apa pun, kita perlu mengikut kemampuan dalam membuat persiapan bagi menyambut kemeriahan. Ambil pengalaman berbelanja pada persediaan musim perayaan lalu untuk mengelak pembaziran," katanya. 

 

Bagi mereka yang beranggapan berbelanja di saat akhir lebih murah dan dapat berjimat, tidak salah untuk meneruskannya. Apapun bagi mengelak tekanan, berbelanjalah mengikut kemampuan. 

 

"Menerusi ibadah puasa yang dilalui selama sebulan, ia sebenarnya mendidik kita untuk membantu dan mengambil iktibar daripada mereka yang kurang berkemampuan. 

 

"Tidak semestinya jika sudah berjaya dan mendapat apa yang diidamkan, kita boleh berbelanja besar sesuka hati. 

 

"Sepatutnya, sikap sederhana dalam perbelanjaan harus diamalkan dan fikirkan mengenai masa depan untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.