Risiko sambung bayar

Categories

Article from Harian Metro dated 4 August 2012

 

>> Peminjam asal terjebak masalah hutang apabila pemilik baru tak jelas pinjaman

 

KUALA LUMPUR: Amalan ‘sambung bayar’ oleh rakyat Malaysia dengan memberi kenderaan yang tidak lagi digunakan kepada pihak lain tanpa menukar nama pemilikan berisiko membuatkan individu terbabit terjebak dengan masalah hutang tidak mampu dilangsaikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Koid Swee Lian berkata, amalan itu hanya berlaku di negara ini disebabkan terlalu percayakan seseorang.

 

“Apabila seseorang itu mahu mendapatkan model kenderaan baru, dia menyerahkan kereta lamanya sama ada kepada anggota keluarga atau rakan karib tanpa menukar nama pemilikan.

 

“Tindakan itu sangat berisiko kerana kami menerima beberapa kes membabitkan pinjaman kereta lama tidak dibayar menyebabkan pemilik asal berdepan masalah hutang yang besar,” katanya yang ditemui semalam.

 

Selain itu, menurutnya, setiap salinan kad pengenalan perlu dipalang bagi mengelak pihak tertentu mengambil kesempatan membuat pelbagai pinjaman menggunakan identiti yang dicuri.

 

“Orang ramai juga dinasihatkan berhati-hati daripada sebarang bentuk pelaburan yang dicurigai sehingga sanggup membuat pinjaman besar untuk menyertainya kerana jika ia satu penipuan, mereka bakal berdepan masalah.

 

“Kami perlu sentiasa berhati-hati kerana perkara di luar jangkaan ini boleh menyebabkan masalah kepada mereka di masa depan,” katanya.

 

Beliau berkata, berdasarkan statistik AKPK, 24 peratus individu dibebankan dengan hutang disebabkan kelemahan pengurusan kewangan diikuti perbelanjaan perubatan yang mahal (23 peratus), kegagalan perniagaan (15 peratus), hilang kawalan dalam penggunaan kad kredit (13 peratus), lain-lain (12 peratus), hilang pekerjaan (10 peratus), kematian ketua keluarga (dua peratus) dan kegagalan pelaburan (satu peratus).

 

Koid berkata, berdasarkan pecahan mengikut pendapatan individu yang datang mendapatkan bantuan Program Pengurusan Hutang di AKPK sejak 2007 pula mendapati mereka yang mempunyai gaji RM24,000 setahun paling ramai iaitu 28,202 atau 38.2 peratus.

 

“Ia diikuti pendapatan setahun antara RM24,000 hingga RM36,000, 30.9 peratus, RM36,000 hingga RM48,000 (15.9 peratus) dan RM48,000 (15 peratus).

 

“Sehubungan itu, kami melihat perancangan dan disiplin kewangan sangat penting. Kita mesti tahu apa perbelanjaan keperluan penting dan tidak selain banyak melabur dalam pelaburan diiktiraf,” katanya.

 

Menurutnya, ibu bapa yang berkemampuan menanggung anak di institusi pengajian tinggi (IPT) tidak perlu membuat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN) bagi mereka terbeban dengan hutang.

 

“Selain itu, galakkan anak yang bercuti atau menunggu keputusan peperiksaan bekerja secara sambilan supaya sekurang-kurangnya mereka dididik berdikari,” katanya.