Hanya 14 peratus tahu khidmat AKPK

Categories

Article from Berita Harian dated 15 October 2012

 

 

Kuching: Kewujudan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sering disalah erti sehingga ada yang menganggap badan itu boleh mengeluarkan pinjaman kewangan.

 

Keadaan ini berlaku berikutan hanya 14 peratus rakyat negara ini mengetahui perkhidmatan diberikan AKPK dalam membantu menyelesaikan beban kewangan individu.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Koid Swee Lian, berkata agensi itu tidak menyediakan sebarang bantuan kewangan, sebaliknya mampu berunding dengan pihak bank tertentu.

 

“Sehingga penghujung bulan lalu, kita sudah membantu 198,870 individu dan 14 peratus daripada mereka sudah mengikuti program pengurusan kewangan.

 

“Melalui program ini, kita membantu mereka merangka jadual pembayaran, malah AKPK sendiri berunding dengan badan kewangan bagi meringankan beban ditanggung individu ini,” katanya pada sidang media di Pejabat AKPK Kuching, di sini semalam.

 

Sementara itu, Koid berkata, kecuaian tidak menyemak dan mengetahui butiran penyata kad kredit boleh menyebabkan seseorang berhutang dan diisytiharkan muflis tanpa disedari.

 

Ini kerana kebanyakan pemilik kad kredit hanya mengambil tahu tunggakan bayaran yang perlu dijelaskan dan pada masa sama tidak mengetahui mengapa mereka dikenakan caj tertentu.

 

“Pelanggan sering menganggap pegawai bank ‘bijak’ sehingga mereka mematuhi apa saja yang diarahkan. Akibatnya, ada pemilik kad kredit bertindak membunuh diri kerana tidak mampu menanggung beban hutang.

 

“Kita perlu faham pegawai bank mempunyai tanggungjawab mengutip hutang menyebabkan mereka akan memberi tekanan kepada pelanggan bermasalah,” katanya.

 

Beliau berkata, ada kes seorang lelaki yang berhutang RM 17,000 bertindak membunuh diri kerana tidak tahan dihubungi bank setiap hari namun pihaknya hanya dimaklumkan mengenainya selepas kematian lelaki itu.