196,014 terima kaunseling AKPK

Categories

Article from Harian Metro dated 12 October 2012

 

SERAMAI 196,014 orang sudah mendapatkan bantuan khidmat nasihat dan kaunseling kredit daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang memberikan perkhidmatan kaunseling secara percuma kepada individu menghadapi masalah kewangan sehingga 31 Ogos tahun ini.

 

Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, daripada jumlah berkenaan seramai 77,994 sudah dibantu melalui Program Pengurusan Kredit AKPK dengan pinjaman mereka distruktur atau dijadual semula.

 

“Ini bagi mengelak mereka daripada diperintahkan muflis mahkamah. Seramai 2,316 pelanggan sudah berjaya sepenuhnya dan dikeluarkan dari Program Pengurusan Kredit AKPK membabitkan jumlah hutang RM72.5 juta.

 

“Semua pelanggan yang mendapat bantuan penstrukturan semula pinjaman mereka di bawah Program Pengurusan Kredit AKPK akan dibantu daripada dikenakan tindakan muflis,” katanya menjawab soalan utama di Dewan Rakyat di sini, semalam.

 

Beliau menjawab soalan utama dibangkitkan Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan berapa ramai individu berjaya diselamatkan daripada status muflis hasil bimbingan diberikan AKPK Bank Negara.

 

Menjawab soalan dibangkitkan, Dr Awang berkata, kebanyakan pelanggan yang datang ke AKPK adalah pelanggan mempunyai masalah pembayaran jumlah hutang tinggi berbanding pendapatan bulanan mereka.

 

“Ada juga antara mereka mendapat surat tindakan undang-undang. AKPK membantu semua pelanggan terbabit dengan mencadangkan kepada pihak institusi kewangan untuk menerima bayaran balik yang sudah distruktur semula mengikut kemampuan pelanggan,” katanya. Dalam soalan tambahannya, Md Sirat juga ingin mengetahui adakah kementerian bercadang mengadakan satu penanda aras atau kelayakan untuk membuat pinjaman bank terutama mereka yang berdaftar dengan AKPK selepas masalah kewangan dapat diselesaikan.

 

Dr Awang berkata, ketika dalam proses penstrukturan semula, pihak bank mempunyai perasaan tidak senang memberikan pinjaman baru berikutan hutang lama belum diselesaikan dan usaha memulihkan golongan berkenaan sepatutnya tidak menghadapi masalah.