2,830 terima khidmat AKPK

Categories

Article from Berita Harian (Johor) dated 24 October 2012

 

>> Tingkat tahap kesedaran supaya bijak urus wang

 

Seramai 2,830 individu tampil mendapatkan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Johor sejak awal tahun ini, menjadikan negeri ini antara cawangan paling sibuk membantu dalam pengurusan kewangan.

 

Daripada jumlah itu, seramai 1,324 peminjam dirujukkan kepada Program Pengurusan Hutang (DMP) yang dikendalikan AKPK sebagai ‘orang tengah’ bagi membantu individu terbabit mengurus kewangan mereka dan melunaskan hutang ditanggung.

 

Kes catat penurunan

Walaupun jumlah kes yang dirujuk kepada program itu mencatatkan penurunan, masalah penggunaan kad kredit dan pinjaman peribadi masih menjadi faktor utama kegagalan individu membayar balik pinjaman.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Koid Swee Lian, berkata agensi itu kini dalam usaha meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap fungsi dan peranan sebenarnya yang membantu memberi khidmat kaunseling dan pengurusan wang.

 

Katanya, selain DMP, AKPK turut melaksanakan Program Pengurusan Wang Ringgit (POWER) secara percuma iaitu pendidikan kewangan praktikal bagi memberi pengetahuan asas dan cara pengurusan kewangan yang sewajarnya.

 

Tawar tiga khidmat utama

“AKPK menawarkan tiga perkhidmatan utama iaitu kaunseling kewangan, DMP dan pendidikan kewangan yang mungkin masih ramai keliru dan tidak memahami sepenuhnya peranan kami.

 

“Bukan itu saja, kami menyediakan portal pembelajaran dalam talian dengan hanya melayari power.akpk.org.my dan sesuai bagi golongan muda terutama pelajar institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya.

 

Sementara itu, Ketua AKPK Cawangan Johor, Mohd Fairuz Mohamed kapi, berkata, orang ramai boleh mengunjungi pejabat AKPK Johor yang terletak di Bank negara Malaysia (BNM) dekat Jalan Bukit Timbalan, di sini, untuk maklumat lanjut.

 

“Selain itu, kami juga membuka pejabat AKPK di Batu Pahat yang terletak di Bangunan AmBank, Jalan Rahmat sejak 2008 dan orang ramai boleh datang mendapatkan perkhidmatan setiap Khamis dan Jumaat minggu kedua setiap bulan.

 

“AKPK Johor sedang berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat selain menjalin kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi memberi pendedahan awal kepada mahasiswa,” katanya.