AKPK bantu orang awam urus hutang dengan bijak

Categories

Article from Sinar Harian dated 23 October 2012

 

JOHOR BAHRU – Lebih 198,870 pelanggan dari seluruh negara telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) setakat tempoh 30 September 2012.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Koid Swee Lian berkata, seramai 81,596 daripada jumlah itu telah dibantu menerusi program Pengurusan Kredit yang ditawarkan AKPK.

 

“Semenjak beroperasi dari April 2006, AKPK telah mencapai tahap membanggakan selepas meluaskan sayap dengan pembukaan pejabat cawangan di Pulau Pingan, Johor Bahru, Kuala Lumpur, Kuching, Kota Kinabalu, Melaka, Ipoh, Kuala Terengganu, Alor Setar dan Kota Bharu.

 

“Program Pengurusan Kredit AKPK ini membantu peminjam memulakan bajet yang menjadi panduan dalam menunaikan pembayaran hutang sekali gus mengurangkan pinjaman tidak berbayar dan perampasan rumah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, semalam.

 

Swee Lian berkata, seramai 2,830 pelanggan dari negeri ini direkodkan sudah mendapatkan kaunseling dari AKPK dan 1,324 daripadanya mengikuti program Pengurusan Kredit sehingga hujung September lalu.

 

“Kebanyakan pelanggan dari Johor mempunyai masalah dari segi bebanan kad kredit, pinjaman peribadi dan pinjaman perumahan.

 

“Bagi masalah kad kredit ini, segelintir daripada mereka mendakwa berdepan masalah kerana sering menggunakan kemudahan berkenaan untuk tujuan peribadi seperti kos perubatan kerana tiada simpanan,” katanya.