Tahap celik kewangan meningkat

Categories

Article from Berita Harian dated 20 October 2012

 

>> AKPK sasar 62 peratus kesedaran pengurusan kredit rakyat

 

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyasar tahap celik kewangan rakyat negara ini akan meningkat kepada 62 peratus pada tahun depan.

 

Pada 2012, kajian yang dilakukan Pertubuhan Pembangunan Kerjasama Ekonomi (OECD) mendapati tahap celik kewangan rakyat Malaysia adalah 58.3 peratus.

 

Ketua Eksekutifnya, Koid Swee Lian, berkata kajian itu akan membolehkan pihaknya mengetahui sejauh mana kesedaran rakyat Malaysia mengenai pengurusan kewangan yang betul dan berhemah.

 

Bantu rakyat urus kewangan

“AKPK ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada 2006 dengan matlamat untuk memastikan rakyat negara ini menjadi celik dalam hal berkaitan kewangan.

 

“Selain itu, ia juga bagi membolehkan peminjam dan bakal peminjam mendapatkan nasihat dan bantuan berhubungan kewangan dan pengurusan kredit,” katanya dalam satu temubual selepas mengadakan kunjungan ke ibu pejabat BH di sini, kelmarin.

 

Hadir sama Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengarang Rencana BH, Azhar Abu Samah.

 

Tangani beban hutang

Swee Lian berkata, di sebalik kewujudan AKPK hampir lebih enam tahun, namun hanya 14 peratus rakyat Malaysia saja yang menyedari mengenai kewujudannya dan perkhidmatan yang diberikan dalam membantu menyelesaikan beban kewangan individu.

 

Katanya, sehubungan itu pihaknya akan bekerja lebih keras bagi memastikan kehadiran mereka disedari sekali gus dapat meningkatkan kesedaran mengenai perkhidmatan yang ditawarkan mereka kepada rakyat khususnya yang memerlukan bantuan.

 

“Mungkin ada beranggapan hanya mereka yang mengalami masalah kewangan atau kredit saja perlu mendapatkan perkhidmatan kami, tetapi sebenarnya tidak.

 

“Perkhidmatan kami terbuka kepada sesiapa saja dan ia adalah percuma. Mereka boleh datang terus ke 11 cawangan kami di seluruh negara untuk mendapatkan khidmat kami,” katanya.

 

Antara perkhidmatan yang ditawarkan AKPK termasuk pendidikan kewangan mengenai penggunaan kredit secara bertanggungjawab dan kemahiran pengurusan asas kewangan.

 

Program dirangka khusus

Semua program pendidikan kewangan AKPK termasuk taklimat dan penerangan yang dirangka khusus untuk pelbagai kumpulan sasaran pendidikan mengenai Pengurusan Kewangan Peribadi seperti Program POWER! AKPK.

 

Selain itu, agensi itu juga menyediakan nasihat dan kaunseling merangkumi topik bajet kewangan untuk pengurusan perbelanjaan secara bijak dan program Pengurusan Kredit khas untuk membantu peminjam memperbaiki tahap kewangan mereka.

 

Struktur semula pinjaman

Peminjam individu boleh mendapatkan bantuan AKPK untuk menstruktur semula pinjaman perumahan, pinjaman kenderaan, pinjaman peribadi atau baki tertunggak kad kredit atau caj yang diperoleh daripada penyedia kewangan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia.

 

Sehingga 30 September 2012, lebih 198,870 pelanggan telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling AKPK dengan 81,596 daripadanya telah dibantu menerusi Program Pengurusan Kredit.