AKPK Bantu 2,460 Orang Selesaikan Masalah Hutang

Categories

Petikan artikel dari Yahoo! News Malaysia7 November 2012

 

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) membantu 2,460 orang menyelesaikan masalah pembayaran hutang perbankan berjumlah RM80.9 juta menerusi Program Pengurusan Kreditnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya Koid Swee Lian berkata mereka adalah daripada 81,596 orang yang dibantu menerusi program berkenaan dengan menstruktur semula pinjaman peminjam seperti pinjaman kad kredit dan peribadi.

 

"Angka kes yang berjaya diselesaikan ini satu pencapaian memberangsangkan bagi kita sebab kita belum masuk 10 tahun lagi beroperasi sejak ditubuhkan 2006. Kita bertindak sebagai ''orang tengah'' mereka (peminjam) dalam berurusan dengan pihak bank yang terlibat," katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan Buku Terbitan AKPK kepada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) yang turut dihadiri bekas Ketua Pengarang Bernama Datuk Seri Azman Ujang di sini, hari ini.

 

Koid berkata kebanyakan orang yang mengikuti program itu terdiri daripada golongan berumur 30 tahun ke atas yang berdepan masalah tidak mampu mengawal hutang mereka.

 

Sehingga September lepas, 198,870 orang mendapatkan khidmat kaunseling mengenai pengurusan kewangan daripada AKPK, katanya.

 

Terdahulu dalam ucapannya, Koid berkata modul AKPK iaitu Program Pengurusan Kewangan berdasarkan buku ''Celik Wang-Pengurusan Wang Secara Bijak'' mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

 

Katanya, modul itu ditawarkan kepada institut pengajian tinggi di negara ini supaya diguna pakai sebagai subjek elektif berbentuk satu jam kredit atau secara penerapan dalam kurikulum.

 

"Sehingga hari ini sebanyak 45 IPTA (Institut Pengajian Tinggi Awam) dan IPTS (Institut Pengajian Tinggi Swasta) bersama 30 politeknik telah bersetuju menerima tawaran kami ini demi kepentingan penuntut-penuntut mereka," katanya.

 

Pada majlis itu, Timbalan Ketua Pengarah PNM Nafisah Ahmad menerima penyerahan buku daripada Koid, bagi mewakili Ketua Pengarah PNM Datuk Raslin Abu Bakar sebagai gimik sumbangan buku kewangan daripada AKPK sebanyak 8,943 naskah.

 

Sumbangan buku kewangan itu bertujuan membentuk rakyat Malaysia yang lebih bijak dan berhemah dalam menguruskan sistem kewangan yang akan diagihkan kepada 1,099 perpustakaan di seluruh negara.

-- BERNAMA