Jumpa AKPK jika ada masalah kewangan

Categories

Artikel dari Utusan Malaysia3 Februari 2014

 

 

Aduan keganasan Ah Long Dikendalikan Biro Pengaduan Awam MCA

Tahun  Jumlah Kes  Jumlah Ah Long  Nilai Pinjaman 
 2012  599  3,863  RM 39.5 juta
 2013  576  4,166  RM 45.4 juta
 2014  32  221  RM 5.1 juta*

*Statistik 2014, sehingga 20 Januari

 

KUALA LUMPUR 2 Feb. - Masyarakat perlu berani mengakui sedang berdepan masalah kewangan dan kemudian tidak berasa malu merujuk kepada pihak yang boleh membantu termasuk Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), bukannya menemui ah long.Pengurus Besar Bahagian Khidmat Korporat AKPK, Azman Hasim berkata, AKPK yang ditubuhkan Bank Negara Malaysia (BNM) menerima secara terbuka mana-mana individu yang ingin mendapat khidmat nasihat dan perkhidmatan yang ditawarkan adalah percuma.

 

Menurutnya, sehingga 31 Disember tahun lalu, 248,491 individu telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling AKPK yang mana 100,871 orang daripada mereka telah dibantu melalui Program Pengurusan Kredit AKPK.

 

Jelas beliau, ada antara individu di bawah Program Pengurusan Kredit AKPK bukan sahaja menghadapi masalah pinjaman dengan bank malah mereka juga terjebak dengan pinjaman ah long.

 

Untuk menyelesaikan masalah kewangan, pertama sekali seorang itu perlu mengakui bahawa mereka sedang berdepan atau menghadapi masalah kewangan.

 

Mereka perlu membuang sifat malu bagi mendapatkan bantuan. Mereka perlu sedar, mereka tidak seharusnya sendirian menghadapi masalah itu," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

 

Menurut Azman, pinjaman daripada ah long tidak menyelesaikan masalah kewangan, sebaliknya ia sekadar langkah terburu-buru itu yang membawa kepada masalah demi masalah sehingga menghancurkan kehidupan dan mengancam nyawa.

 

Daripada kajian kami, tiga punca utama masalah kewangan adalah cara hidup mewah melebihi kemampuan, kegagalan dalam pelaburan serta perniagaan dan perkara di luar kawalan seperti kecederaan fizikal sehingga kehilangan sumber pendapatan.

 

Mana-mana individu yang menghadapi masalah kewangan akan mengalami kitaran ganas daripada satu masalah ke masalah lain. Perkara terburuk yang boleh berlaku adalah terjerumus dengan masalah ah long yang mana semua sedia maklum bahawa mereka menindas mangsa.

 

Saya ingin mengingatkan masyarakat supaya membuat keputusan bijak. Jangan meminjam daripada ah long yang mengenakan faedah sehingga 1,000 peratus. Di negara kita ada perbankan Islam yang mengenakan faedah cuma sembilan peratus," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Sementara pada itu, Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Dr. Ahmad Fauzi Puasa berkata, kegiatan ah long yang mengenakan faedah terlalu tinggi hanya akan membunuh golongan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terdesak memerlukan wang.

 

Mereka yang terperangkap dengan masalah ah long akan menghadapi masalah hutang yang tidak pernah selesai kerana ah long akan mengugut, menindas dan membuli mangsanya.

 

Ah long ini boleh diibaratkan kanser dalam masyarakat. Bukan sahaja menghancurkan perniagaan tetapi kehidupan," katanya yang menegaskan penguatkuasaan undang-undang dan kesedaran masyarakat secara serentak sebagai penyelesaian masalah itu.