Elak jerat muflis

Categories

Artikel dari Harian Metro12 Februari 2014

 

Kuala Lumpur: Peningkatan kos sara hidup tidak boleh dijadikan faktor utama yang mendorong rakyat muflis, sebaliknya keadaan itu disebabkan cara seseorang mengurus kewangan masing-masing.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, adalah tidak wajar mengaitkan kedua-dua perkara itu, memandangkan rakyat mempunyai banyak pilihan untuk mengurus keperluan hidup mereka mengikut kemampuan sendiri.

 

“Dan ini terlalu subjektif sebenarnya. Dalam kita mengurus keperluan hidup, ia bergantung sepenuhnya kepada kebijaksanaan kita terutama dalam berbelanja mengikut keupayaan kewangan yang ada.

 

“Ada tempat yang menawar produk dengan harga munasabah sekali gus tidak membebankan rakyat dan terdapat juga yang mahal, maka terpulang pada kita untuk membuat pilihan.

 

“Kita tak boleh jangka berapa ramai yang akan muflis pada masa depan tetapi kerajaan sentiasa melaksana program yang boleh meringankan beban semua orang, begitu juga dalam soal mengurus kewangan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

 

Beliau terdahulu mendengar taklimat pengurusan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di sini yang dihadiri Pengerusi AKPK Datuk Mohd Hanif Sher Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Koid Swee Lian.