Orang ramai diminta waspada dengan ejen AKPK palsu
Artikel dari ABN News, 12 Februari 2014
KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta berhati-hati dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai pegawai Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Nancy Syukri berkata, individu terbabit
memperdayakan orang ramai dengan menipu memberikan perkhidmatan dari rumah ke rumah.
Jelasnya, AKPK hanya menyediakan perkhidmatan kaunseling di pejabat agensi itu sahaja.
“Memang ada orang yang menyamar sebagai ejen AKPK dan bertindak menipu orang ramai di luar sana.
“Kepada mereka yang ingin mendapatkan bantuan daripada AKPK, mereka perlu datang sendiri ke pejabat agensi,” katanya.
Jelasnya, ia sesuai dengan peranan AKPK yang memberi nasihat mengenai aspek kewangan kepada mereka yang berada dalam kategori muflis.
Dalam pada itu, seramai 248,091 pelanggan telah mendapatkan khidmat nasihat daripada AKPK sehingga 31 Disember lalu.
Daripada jumlah itu, 100,871 orang telah dibantu melalui program pengurusan kredit AKPK.